
KUALA LUMPUR, 25 Februari -Proses reka bentuk projek tebatan banjir Sungai Langat Fasa 2, dijangka dapat dimuktamadkan sepenuhnya pada September tahun ini.
- Reka bentuk projek tebatan banjir Sungai Langat Fasa 2 dijangka dimuktamadkan pada September ini.
- Perunding dilantik 9 Mei 2025 untuk reka bentuk terperinci dan penyeliaan pelaksanaan sehingga 19 Ogos 2032.
- Proses pengambilan tanah hanya boleh bermula selepas reka bentuk terperinci siap kerana jajaran dan komponen ditentukan kemudian.
- Pengurusan risiko banjir perlu menyeluruh, termasuk kawalan pembangunan, PISMA oleh JPS, dan syarat kawalan hakisan dalam permohonan PBT.
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, projek yang diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) Rolling Plan Kelima (RP5) 2025 itu, kini dalam fasa penyediaan reka bentuk terperinci dan setakat Januari lalu, kemajuan reka bentuknya berada di peringkat konsep.
Katanya, perunding telah dilantik pada 9 Mei 2025 dengan tempoh perkhidmatan bermula 19 Mei 2025 sehingga 19 Ogos 2032 merangkumi penyediaan reka bentuk serta penyeliaan pelaksanaan projek.
“Dari segi pelaksanaan, proses pengambilan tanah hanya boleh dimulakan selepas reka bentuk terperinci dimuktamadkan kerana jajaran sebenar dan komponen mitigasi banjir seperti lokasi kolam takungan, kerja-kerja pelebaran sungai serta laluan akses hanya dapat ditentukan secara tepat pada peringkat tersebut.
“Berdasarkan pengalaman pelaksanaan projek seumpamanya, antara cabaran yang berpotensi menjejaskan jadual adalah isu pengalihan utiliti, proses pengambilan tanah dan penyelesaian penempatan setinggan,” katanya menjawab soalan Senator Tiew Way Keng mengenai kemajuan semasa projek tebatan banjir itu di Dewan Negara, hari ini.
Datuk Seri Abdul Rahman berkata, selain pelaksanaan projek fizikal, PETRA berpandangan bahawa pengurusan risiko banjir perlu dilaksanakan secara menyeluruh dan tidak hanya bergantung kepada projek tebatan semata-mata.
Katanya, kawalan pembangunan yang berkesan adalah penting bagi memastikan risiko banjir tidak meningkat akibat pembangunan baharu yang tidak terkawal.
Beliau berkata, PETRA melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah dan sedang menyediakan tujuh Kajian Pelan Induk Saliran Mesra Alam (PISMA) di Negeri Selangor selaras dengan Manual Saliran Mesra Alam (MSMA) dan hasil kajian itu akan menjadi rujukan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta pihak berkaitan.
Pada masa yang sama, pelan kawalan hakisan dan kelodak telah ditetapkan sebagai syarat wajib dalam permohonan pelan kerja tanah bagi tujuan Kebenaran Merancang di semua PBT.