
KANGAR, 22 Februari – Pelbagai pendekatan dilaksanakan bagi mengimarahkan Ramadan tahun ini bersama komuniti setempat khususnya di kawasan kampung sekitar Parlimen Kangar.
- Penganjuran Program Singgah Sahur di setiap kawasan DUN melibatkan JPKKP dan penduduk setempat.
- Program memberi peluang kepimpinan UMNO Kangar mendekati masyarakat secara santai dan berkongsi maklumat inisiatif kerajaan.
- Inisiatif ini memperkukuh hubungan, mendengar permasalahan setempat, dan menyemarakkan semangat kebersamaan sepanjang Ramadan.
Antaranya menerusi penganjuran Program Singgah Sahur yang dilaksanakan di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Kangar, melibatkan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) serta penduduk setempat.
Ketua UMNO Bahagian Kangar, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya berkata, menerusi program berkenaan, kepimpinan UMNO Bahagian Kangar berpeluang mendekati masyarakat secara lebih santai selain berkongsi pandangan dan maklumat berkaitan pelbagai inisiatif kerajaan.
Menurut beliau, program tersebut juga menjadi platform untuk mendengar sendiri permasalahan setempat dan memperkukuh hubungan antara kepimpinan dan komuniti.
“Program yang bermula 21 Februari lalu telah singgah di dua kampung iaitu Pengkalan Asam dan Seriab. Sepanjang Ramadan ini, ia dijadual menjelajah lebih 100 kawasan JPKKP di seluruh Parlimen Kangar,” katanya.
Tambahnya, Program Singgah Sahur merupakan sebahagian daripada lebih 40 program yang dirancang sempena Ramadan oleh UMNO Bahagian Kangar.
Pelaksanaan program berkenaan diharap dapat terus menyemarakkan semangat kebersamaan, selain memperkukuh jalinan silaturahim antara kepimpinan dan masyarakat setempat sepanjang bulan Ramadan.