Malaysia Menua 2030: Kita perlu doktor yang memahami usia bukan sekadar rawatan

Gambar hiasan janaan AI/RTM

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • Perlu doktor terlatih memahami keperluan warga emas secara holistik, bukan hanya memberi rawatan simptomatik.
  • Latihan klinikal mesti meluas ke komuniti dan rumah untuk memahami konteks penjagaan sebenar warga emas.
  • Kurikulum dan sistem peperiksaan perlu diubah untuk menilai kemahiran praktikal, empati, dan pengurusan penyakit kronik.
  • Tingkatkan kepakaran geriatrik; pengiktirafan bidang ini penting untuk elak krisis penjagaan warga emas menjelang 2030.

Bayangkan seorang doktor muda berdiri di depan seorang nenek berusia 82 tahun. Nenek itu bukan sekadar demam. Dia ada kencing manis, darah tinggi, lututnya sakit hingga sukar berjalan, dan kadang kala dia lupa nama cucunya sendiri. Di tangannya ada segenggam ubat yang perlu dimakan setiap hari.

Persoalan besar bagi doktor itu bukan lagi sekadar memberi ubat baharu, tetapi ubat mana yang patut dihentikan supaya nenek itu tidak jatuh pening atau mengalami komplikasi akibat terlalu banyak ubat. Di sinilah realiti perubatan warga emas bermula dan di sinilah juga jurang latihan sering terserlah dalam sistem pendidikan kita.

Jurang ini mendapat perhatian kerajaan melalui pendekatan MADANI dengan memperkenal penubuhan pusat sehenti masyarakat menua di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13). Teras insaniah menjadi asas yang mencorakkan pemikiran, perancangan, pelaksanaan dan gerak kerja di bawah Kementerian Kesihatan bagi mendepani cabaran penuaan penduduk yang semakin meruncing.

Inisiatif pusat sehenti ini menandakan komitmen serius kerajaan hari ini untuk memastikan warga emas menerima penjagaan kesihatan yang lebih tersusun, menyeluruh dan berfokus kepada kualiti hidup, selaras dengan aspirasi negara menuju penuaan sihat dan bermaruah.

Ini memandangkan menjelang 2030, Malaysia dijangka menjadi negara menua apabila lebih 15 peratus penduduk berusia 60 tahun ke atas berdasarkan unjuran Jabatan Perangkaan Malaysia. Penuaan ini bukan sekadar statistik demografi, tetapi perubahan struktur penyakit, keperluan rawatan, dan cara doktor perlu berfikir. Persoalan besar yang perlu kita tanyakan ialah adakah kurikulum perubatan kita sudah benar-benar disusun untuk realiti ini?

Latihan perubatan kita hari ini biasanya fokus kepada cara merawat penyakit yang datang tiba-tiba seperti jangkitan kuman. Bagi antibiotik, pesakit sembuh dan balik rumah. Model ini memang bagus, tapi realitinya sekarang sudah berubah.

Pesakit warga emas biasanya datang dengan pakej masalah yang berselirat dan dikenali sebagai “The Big 5 I’s Geriatric Giants” yang merangkumi lima masalah utama: Nyanyuk atau demensia (impaired cognition), risiko jatuh (instability), kesukaran bergerak (immobility), masalah kawalan kencing (incontinence), dan komplikasi atau kemudaratan akibat kesan sampingan rawatan perubatan (iatrogenesis).

Warga emas jarang datang dengan satu masalah sahaja. Sebab itu, kita perlukan doktor yang benar-benar faham dan peduli tentang maruah serta kualiti hidup seorang manusia di penghujung usia mereka. Kita mahu mereka bukan sekadar hidup, tetapi hidup dengan selesa dan dihormati. Pendekatan ini selari dengan Epistemologi Tauhidik yang diterapkan di UIAM, di mana ilmu perubatan tidak dipisahkan daripada nilai ketuhanan dan kemanusiaan.

Rawatan warga emas bukan sekadar membaiki tubuh yang rapuh, tetapi satu amanah untuk memelihara kemuliaan insan sebagai hamba Allah dan khalifah di muka bumi. Ini termasuklah memastikan mereka bukan sahaja sihat secara fizikal, malah dibantu untuk menjalankan kewajipan ibadah dan solat dengan selesa walaupun dalam keadaan uzur. Hal ini menuntut setiap insan disantuni dengan penuh ihsan tanpa mengira latar belakang dan usia.

Oleh yang demikian, latihan doktor kita tidak boleh lagi hanya terkurung di dalam hospital besar. Kita perlu akui bahawa majoriti warga emas sebenarnya dirawat di klinik kesihatan atau di rumah mereka sendiri. Walaupun sudah ada usaha rawatan di rumah di Malaysia, ia belum cukup kuat untuk dijadikan tempat latihan sebenar bagi bakal doktor kita.

Latihan ini penting supaya doktor sedar tentang siapa yang menjaga pesakit di rumah dan bagaimana keadaan persekitaran mereka. Fokus doktor bukan lagi sekadar mahu cepat beri diagnosis, tetapi memastikan rawatan itu praktikal untuk diamalkan di rumah.

Tanpa latihan yang terjun terus ke dalam masyarakat, doktor muda akan terus menganggap warga emas hanyalah pesakit biasa yang cuma lebih tua. Ini adalah satu tanggapan yang sangat berbahaya dan boleh mengabaikan keperluan sebenar ibu bapa kita. Sistem peperiksaan doktor kita juga perlu diubah. Jika peperiksaan hanya mementingkan hafalan teori di atas kertas, maka kemahiran sebenar untuk menjaga warga emas tidak akan diasah.

Menjaga pesakit tua melibatkan kecekapan doktor berbual dengan pesakit yang keliru, keberanian untuk mengurangkan dos ubat yang tidak perlu, dan kebijaksanaan berbincang dengan ahli keluarga. Kita memerlukan doktor yang bukan sahaja lulus cemerlang, tetapi juga praktikal, empati, dan cekap menguruskan beban kesihatan jangka panjang.

Di sebalik tabir kemajuan perubatan kita, terdapat satu krisis kepakaran kesihatan warga emas atau geriatrik yang amat kritikal untuk ditangani segera. Jika kita melihat statistik semasa, Malaysia hanya mempunyai sekitar 0.18 pakar geriatrik bagi setiap 10,000 penduduk. Dalam bahasa mudah, bayangkan hanya ada seorang pakar geriatrik untuk menjaga lebih 55,000 orang warga emas. Ini adalah nisbah yang sangat tempang berbanding sasaran ideal iaitu seorang pakar geriatrik bagi setiap 10,000 orang.

Jika isu ini dibiarkan, Malaysia bakal mendepani krisis struktur yang akan melumpuhkan sistem kesihatan kita. Sudah tiba masanya kepakaran warga emas diiktiraf sebagai bidang berimpak tinggi demi menjaga maruah penuaan rakyat kita. Kurikulum perubatan juga tidak boleh lagi kaku sedangkan profil pesakit di depan mata berubah dengan pantas. Doktor masa depan tidak boleh sekadar dilatih untuk merawat penyakit; mereka perlu dipersiapkan untuk menemani kehidupan yang semakin panjang dan kompleks.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Dr Azril Shahreez Abdul Ghani
Pensyarah Pendidikan Perubatan
Kulliyyah Perubatan
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
e-mel: azrilshahreez@iium.edu.my


Dr Mohd Salami Ibrahim
Pensyarah Pendidikan Perubatan
Fakulti Perubatan
Universiti Sultan Zainal Abidin