Insiden tembakan ketika tangkapan, polis dan suspek cedera

Kejadian berlaku kira-kira pukul 10.45 pagi ketika dua anggota yang menjalankan rondaan Unit Bike Patrol (BIT) dan cegah jenayah di Jalan Persisiran Pantai

TAWAU, 13 Februari – Seorang anggota polis dan seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam kegiatan jenayah cedera akibat terkena tembakan ketika berlaku pergelutan semasa proses tangkapan di kawasan pusat komersial Bazhong, pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Anggota polis dan suspek cedera akibat tembakan tidak sengaja semasa pergaduhan ketika proses tangkapan.
  • Suspek melarikan diri selepas pemeriksaan kenderaan, kemudian ditangkap di kawasan pusat komersial Bazhong.
  • Polis menemui serbuk disyaki syabu; siasatan dijalankan untuk mengenal pasti latar belakang suspek.
  • Orang ramai diminta tidak berspekulasi dan diminta menyalurkan maklumat berkaitan kejadian kepada polis.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Penguasa Polis Supt Champin Piuh berkata kejadian berlaku kira-kira pukul 10.45 pagi ketika dua anggota yang menjalankan rondaan Unit Bike Patrol (BIT) dan cegah jenayah di Jalan Persisiran Pantai menahan sebuah kenderaan berwarna putih untuk pemeriksaan.

Menurut beliau, pemandu kenderaan itu secara tiba-tiba melarikan diri dengan meninggalkan kereta sebaik pemeriksaan dijalankan.

Anggota bertugas kemudian mengejar suspek dan berjaya menahannya di kawasan pusat komersial Bazhong.

“Bagaimanapun, ketika proses pemeriksaan dan tangkapan dijalankan, suspek berusia lingkungan 30-an bertindak agresif serta enggan memberi kerjasama sehingga berlaku pergelutan.

“Dalam insiden tersebut, seorang anggota polis secara tidak sengaja melepaskan satu das tembakan yang mengenai tangan kiri suspek. Seorang lagi anggota BIT yang membantu dalam tangkapan turut mengalami kecederaan di bahagian paha kanan.

“Kedua-dua mereka yang cedera dihantar ke Hospital Tawau untuk mendapatkan rawatan lanjut. Hasil pemeriksaan lanjut, polis menemui serbuk disyaki dadah jenis syabu dan siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti latar belakang suspek serta tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang,” katanya.

Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan dan diminta menyalurkan maklumat kepada pihak polis sekiranya mempunyai maklumat berkaitan kejadian.