
CALIFORNIA, 13 Februari– Sekumpulan ibu bapa berhimpun di hadapan ibu pejabat Snapchat di Santa Monica, California bagi membantah dakwaan bahawa platform itu bertanggungjawab terhadap kematian anak-anak mereka.
- Ibu bapa berhimpun di hadapan ibu pejabat Snapchat menuntut perlindungan kanak-kanak daripada risiko media sosial.
- Peguam plaintif dakwa dokumen dalaman tunjuk platform direka untuk mencetus ketagihan kanak-kanak.
- Perbicaraan boleh membuka laluan kepada ribuan saman serupa terhadap syarikat teknologi di California.
- Beberapa negara sudah ambil langkah had umur atau larangan untuk lindungi kesihatan mental kanak-kanak.
Protes berkenaan berlangsung ketika perbicaraan penting melibatkan syarikat media sosial dan teknologi utama sedang berjalan di Los Angeles.
Seorang wanita berusia 20 tahun, dikenali sebagai Kaley G.M., memfailkan saman terhadap Meta Platforms, syarikat induk Facebook dan Instagram serta Alphabet Inc. yang memiliki YouTube, atas dakwaan reka bentuk aplikasi yang bersifat ketagihan.
Peguam plaintif mendakwa dokumen dalaman syarikat menunjukkan platform tersebut sengaja direka untuk membuat kanak-kanak ketagih media sosial.
Namun, pihak pembela berhujah bahawa rekod peribadi Kaley menunjukkan latar belakang keluarga dan kesihatan yang bermasalah.
Justeru, kedua-dua syarikat menafikan dakwaan berkenaan.
Keputusan perbicaraan itu berpotensi membuka laluan kepada ribuan kes saman serupa terhadap syarikat teknologi di California.
Ketua Pegawai Eksekutif Meta, Mark Zuckerberg dijangka dipanggil sebagai saksi, manakala TikTok dan Snap dilaporkan telah mencapai penyelesaian dengan plaintif sebelum perbicaraan dimulakan.
Di luar ibu pejabat Snapchat, seorang bapa, Todd Minor, berkongsi kisah anaknya yang meninggal dunia selepas menyertai cabaran “blackout” yang tular di media sosial dan didakwa dipacu oleh algoritma berbahaya.
Gelombang tindakan undang-undang itu mencerminkan reaksi global terhadap kesan media sosial terhadap kesihatan mental kanak-kanak, dengan Australia dan Sepanyol telah melarang akses kepada pengguna bawah 16 tahun manakala negara lain sedang mempertimbangkan langkah serupa. -REUTERS