Prosiding komital Shafie Apdal ditangguh

Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal / BERNAMA

KOTA KINABALU, 11 Februari – Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu menangguhkan prosiding komital berhubung dakwaan menghina mahkamah yang dikaitkan dengan kenyataan Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berhubung inkues kematian Zara Qairina Mahathir.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu menangguhkan prosiding komital terhadap Mohd Shafie Apdal berkaitan dakwaan menghina mahkamah.
  • Penangguhan dibuat sementara menunggu keputusan Mahkamah Tinggi terhadap cabaran perundangan prosiding inkues kematian Zara Qairina.
  • Kes akan disebut semula pada 27 Mac 2026 menerusi prosiding dalam talian.

Prosiding itu didengar Hakim Mahkamah Sesyen, Amir Shah Amir Hassan.

Mahkamah memutuskan penangguhan dibuat sementara menunggu keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu terhadap cabaran perundangan berkaitan prosiding inkues kematian remaja berkenaan.

Terdahulu, pihak pendakwaan berhujah bahawa prosiding komital wajar diteruskan, namun pihak pembelaan menegaskan sebarang prosiding lanjut boleh menjejaskan prinsip keadilan selagi isu perundangan utama masih belum diputuskan.

Mahkamah menetapkan kes akan disebut semula pada 27 Mac 2026, pukul 9 pagi melalui prosiding dalam talian.

Tahun lalu, Datuk Seri Mohd Shafie dalam satu ucapan di Sandakan menyifatkan kematian Zara sebagai pembunuhan selain mempertikai siasatan polis serta laporan pakar patologi forensik.