
IPOH, 11 Februari – Seorang lelaki ditemukan maut selepas dipercayai terjatuh ke dalam kolam ikan miliknya ketika menjala ikan di Batu 20, Kampung Sungai Nangka Jelai, Batu Kurau, malam tadi.
- Seorang lelaki berusia lingkungan 40-an ditemukan tidak sedarkan diri di tebing kolam ikan selepas dipercayai terjatuh semasa menjala.
- JBPM Perak menerima panggilan kecemasan pada 8.02 malam dan anggota tiba kira-kira 16 minit kemudian.
- Pasukan perubatan mengesahkan mangsa meninggal dunia dan mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad menerusi satu kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 8.02 malam sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Batu Kurau digerakkan ke lokasi kejadian.
Menurut beliau, mangsa yang berusia lingkungan 40-an ditemukan terbaring di tebing kolam dalam keadaan tidak sedarkan diri sebaik anggota bomba tiba di lokasi kira-kira 16 minit kemudian.
“Pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia yang tiba di tempat kejadian mengesahkan mangsa telah meninggal dunia,” katanya.
Mayat mangsa diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia untuk tindakan lanjut, manakala operasi ditamatkan pada pukul 9.38 malam.