Syarat lebih ketat EV import bakal perkukuh daya saing industri automotif tempatan

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 10 Februari – Keputusan kerajaan mengenakan syarat lebih ketat terhadap kemasukan kenderaan elektrik (EV) import dilihat bertujuan melindungi pelaburan, mengukuhkan rantaian bekalan serta memastikan daya saing industri automotif tempatan terus terpelihara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Melindungi pelaburan asing dan operasi pemasangan tempatan supaya pelabur terus komited membangun industri tempatan.
  • Mengukuhkan rantaian bekalan komponen tempatan untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran dan peluang eksport vendor tempatan.
  • Meningkatkan daya saing Malaysia berbanding pengeluar serantau seperti Thailand melalui pembangunan komponen tempatan.
  • Dasar konsisten dan hala tuju jelas menarik pelaburan berkualiti serta percepatkan pembangunan ekosistem EV tempatan.

Penganalisis automotif, Hezeri Samsuri berkata pendekatan itu turut dilaksanakan oleh banyak negara lain, khususnya di Asia Tenggara, bagi melindungi pelaburan syarikat asing yang telah melabur dalam operasi pemasangan tempatan.

“Mereka bukan sahaja mewujudkan ribuan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan, malah membantu melahirkan vendor-vendor tempatan yang kemudiannya berupaya mengeksport produk mereka.

“Itu yang kita harapkan, dan perkara itu memang sedang berlaku. Pada saya, usaha mengukuhkan rantaian bekalan bagi sektor komponen tempatan adalah antara langkah terbaik untuk terus memperkukuh industri automotif tempatan,” katanya.

Tambahnya, pengukuhan rantaian bekalan komponen tempatan juga dapat meningkatkan daya saing Malaysia, termasuk dalam usaha menyaingi Thailand yang sudah lama menjadi hab automotif utama rantau ini.

Selain itu, dasar yang konsisten serta hala tuju industri yang jelas penting bagi menarik lebih banyak pelaburan berkualiti dan mempercepat pembangunan ekosistem EV tempatan.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani sebelum ini memaklumkan, kemasukan EV import akan dihadkan kepada segmen mewah sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh industri automotif tempatan.