Negara Arab, Islam kecam langkah terbaharu Israel kukuhkan kawalan di Tebing Barat

Tentera Zionis berjalan berhampiran penduduk Palestin yang berhimpun menentang sekatan Israel di kem pelarian Palestin Nur Shams di Tebing Barat/ AFP

KAHERAH, 10 Februari- Beberapa negara Arab dan Islam mengecam Israel pada Isnin berhubung keputusan terbaharunya untuk memperkukuh kawalan ke atas Tebing Barat serta memperluaskan penempatan Yahudi, lapor Xinhua.

RINGKASAN BERITA AI
  • Negara Arab dan Islam mengutuk keputusan Israel memperkukuh kawalan dan memperluas penempatan di Tebing Barat sebagai langkah haram.
  • Mereka menyeru mesyuarat tergempar badan antarabangsa untuk mengecam dan menuntut supaya langkah Israel dibatalkan segera.
  • Dinyatakan bahawa tindakan Israel mencabuli undang-undang antarabangsa dan mengugat penyelesaian dua negara serta keamanan rantau.

Dalam satu kenyataan akhbar ringkas, Naib Presiden Palestin, Hussein al-Sheikh menggesa Majlis Liga Arab, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNSC) untuk mengadakan mesyuarat tergempar bagi membincangkan apa yang disifatkannya sebagai “keputusan berbahaya” oleh pihak berkuasa Israel.

Beliau menegaskan perlunya pendirian antarabangsa yang bersatu untuk mengecam langkah itu dan menuntut ia ditarik balik dengan segera.

Sementara itu, menteri luar dari lapan negara Arab dan Islam mengutuk sekeras-kerasnya keputusan serta tindakan “haram” Israel yang bertujuan mengukuhkan aktiviti penempatan berkenaan.

Dalam satu kenyataan bersama, menteri-menteri luar dari Mesir, Jordan, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Indonesia, Pakistan, Turkiye, Arab Saudi, dan Qatar menegaskan bahawa Israel tidak mempunyai kedaulatan ke atas wilayah Palestin yang diduduki.

Mereka memberi amaran terhadap penerusan “dasar peluasan wilayah Israel” serta langkah-langkah haram yang diambil oleh Israel di Tebing Barat yang diduduki, sambil menyuarakan “penolakan mutlak terhadap tindakan haram berkenaan.”

Menteri-menteri itu berkata langkah Israel tersebut merupakan pencabulan terang-terangan terhadap undang-undang antarabangsa dan menjejaskan pendekatan penyelesaian dua negara, selain menambah bahawa tindakan sedemikian turut menggugat usaha untuk keamanan dan kestabilan di rantau itu.

Kenyataan itu turut menggesa masyarakat antarabangsa untuk memenuhi tanggungjawab undang-undang serta moral mereka dan memaksa Israel menghentikan peningkatan ketegangan yang berbahaya di Tebing Barat.

Pada Ahad, kabinet keselamatan Israel meluluskan beberapa keputusan yang bertujuan mengubah status undang-undang serta sivil di Tebing Barat dan memperkukuh kawalan Israel ke atas wilayah berkenaan.

Antara langkah kontroversi yang diluluskan termasuk keputusan kabinet untuk memansuhkan undang-undang yang melarang penjualan tanah kepada orang Yahudi, menghapuskan keperluan permit transaksi khas, dan menghidupkan semula jawatankuasa pemerolehan tanah negara yang tidak aktif selama kira-kira dua dekad.

Israel merampas Tebing Barat dan Baitulmuqaddis Timur dalam Perang Timur Tengah 1967.

Penempatan yang dibina di sana serta pendudukan tentera yang berterusan dianggap sebagai tidak sah di bawah undang-undang antarabangsa oleh kebanyakan pihak.

Pegawai Palestin telah berulang kali memberi amaran bahawa langkah memperluaskan penempatan dan meluaskan kuasa awam Israel di Tebing Barat akan menjejaskan prospek penubuhan negara Palestin yang merdeka. -BERNAMA-XINHUA