
KUALA LUMPUR, 9 Februari -Projek Penerbitan Penterjemahan Ensiklopedia Fiqh Al-Mawsu’ah Al-Fiqhiyyah Al-Kuwaitiyyah ke dalam Bahasa Melayu dijangka dapat disiapkan pada tahun 2028, selepas memperoleh izin penerbitan daripada Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Islam Kuwait pada 26 Januari 2020.
- Projek terjemahan Ensiklopedia Fiqh Kuwait dijangka siap pada 2028 setelah mendapat kebenaran penerbitan Kuwait.
- Penerbitan merangkumi 45 jilid dan 17,000 muka surat untuk memudahkan pemahaman hukum fiqh.
- Terjemahan menggunakan bahasa Melayu mudah difahami dengan pencerahan lanjut oleh asatizah.
- Kerjasama 40 penterjemah, DBP, Jabatan Mufti, akademik dan agamawan; Malaysia negara pertama diberi lesen rasmi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, penerbitan yang merangkumi 45 jilid dan 17,000 muka surat itu dijangka memudahkan golongan agamawan, ahli akademik serta orang ramai memahami hukum-hakam fiqh.
Ia selain menjadi rujukan dalam penyelesaian isu-isu semasa umat Islam di negara ini.”
“Tujuan utama projek ini adalah untuk memberi akses kepada orang awam bagi memahami ensiklopedia fiqh dalam Bahasa Melayu. Oleh itu, bahasa yang digunakan adalah bahasa yang mudah difahami.
“Manakala pencerahan lanjut akan diteruskan oleh para asatizah bagi membantu masyarakat memahami fiqh secara lebih mendalam, memandangkan ensiklopedia ini merupakan antara yang paling lengkap,” katanya kepada media selepas menyempurnakan Nadwah Panel Pakar Ensiklopedia Fiqh di ibu negara.
Tambahnya, proses terjemahan dan pentashihan yang kini memasuki fasa ke-4 sedang giat dilaksana melibatkan 40 orang penterjemah dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Jabatan Mufti, Ahli Akademik serta para agamawan yang dilantik khas.
Malaysia menjadi negara pertama mendapat izin terbit rasmi menterjemahkannya ke dalam Bahasa Melayu bagi pasaran tempatan dan Asia Tenggara.