
HULU TERENGGANU, 8 Februari – Meski tanpa tangan dan kaki, semangat untuk terus menimba ilmu tidak pernah luntur dalam diri Nur Damia Irsalina Daeng Malis, 19, seorang pelajar orang kurang upaya (OKU) yang kini melanjutkan pengajian peringkat sijil dalam bidang rekaan dalaman di Pusat Kemahiran Terengganu Timber Industry Training Centre (TTITC), di sini.
- Nur Damia, OKU tanpa tangan dan kaki, gigih sambung pengajian dalam rekaan dalaman di TTITC.
- UMNO Terengganu dan Yayasan KETENGAH sumbang komputer riba diubah suai untuk sokong keperluan pembelajaran reka bentuk.
- Bantuan itu melambangkan keprihatinan dan dorongan agar pelajar OKU terus meneruskan pendidikan dan tidak berputus asa.
Keazaman luar biasa Nur Damia mendapat perhatian UMNO Terengganu yang tampil menyampaikan sumbangan sebuah komputer riba khas bagi membantu beliau mengikuti pembelajaran dengan lebih selesa.
Sumbangan berkenaan bukan sekadar bantuan fizikal, sebaliknya melambangkan keprihatinan terhadap masa depan anak-anak istimewa agar mereka tidak tercicir daripada arus pendidikan.
Usaha itu selari dengan dasar Kerajaan MADANI yang menekankan keterangkuman pendidikan, termasuk membuka lebih banyak peluang kepada pelajar OKU dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Pengerusi UMNO Terengganu, Rozi Mamat berkata, Nur Damia wajar dijadikan inspirasi kepada golongan muda, khususnya anak-anak istimewa agar tidak berputus asa mengejar ilmu.
“Saya berharap beliau dapat menjadi duta kepada kita semua sebagai inspirasi kepada orang muda bahawa anak-anak istimewa masih mampu belajar walaupun berdepan pelbagai kekangan. Alhamdulillah, adanya TTITC yang memberi peluang dalam bidang rekaan dalaman, dan saya berharap beliau dapat belajar dengan baik sehingga menamatkan pengajian,” katanya.
Rozi yang juga Pengerusi KETENGAH ditemui ketika menyampaikan sumbangan komputer riba yang diubah suai mengikut keperluan pelajar OKU dengan kerjasama Yayasan KETENGAH, di kediaman Nur Damia di Kampung Lubok Batu.
Dalam pada itu, Nur Damia berkata komputer riba berkenaan amat membantu dalam menyiapkan kerja kursus, khususnya melibatkan reka bentuk dalaman yang memerlukan spesifikasi perisian tinggi.
“Komputer riba ini digunakan untuk kerja kursus dan reka bentuk rumah. Ia memerlukan spesifikasi tinggi kerana sebelum ini saya hanya menggunakan komputer riba biasa yang tidak dapat menyokong perisian reka bentuk,” katanya.
Ibunya, Rosnaini Mohamad pula meluahkan rasa syukur atas bantuan yang diterima kerana ia dapat meringankan beban keluarga.
“Bantuan ini amat bermakna dan sedikit sebanyak meringankan beban kami kerana ada tanggungan lain, termasuk anak yang sedang melanjutkan pelajaran,” katanya.
Sebelum ini, Nur Damia telah berjaya menamatkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 1 dan 2 di peringkat sekolah menengah.
Kisah kejayaan beliau diharap dapat menyuntik semangat kepada golongan muda agar terus berusaha mencapai kejayaan walaupun berdepan pelbagai cabaran hidup.
