Kerajaan teliti keperluan lesen aplikasi AI

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil (empat kiri) ketika melakukan gimik pelancaran Majlis Kempen Internet Selamat hari ini/Foto BERNAMA


KUALA LUMPUR, 8 Februari –
Kerajaan sedang mengkaji keperluan mewujudkan kawal selia khusus termasuk kemungkinan pelesenan aplikasi kecerdasan buatan (AI) bagi mengelakkan teknologi itu disalahgunakan, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan mengkaji keperluan kawal selia khusus termasuk kemungkinan pelesenan aplikasi AI.
  • Belum ada hasrat melaksanakan pelesenan sekarang kerana kajian dan penilaian masih berjalan.
  • Kebimbangan terhadap penyalahgunaan AI untuk suntingan gambar, video dan kandungan jelik melampau.
  • Pendekatan berhati-hati diperlukan agar kawal selia berkesan tanpa mengekang inovasi digital.

Beliau berkata pada masa ini, kerajaan belum berhasrat melaksanakan pelesenan aplikasi AI walaupun mempunyai kuasa untuk berbuat demikian, memandangkan kajian dan penilaian masih dijalankan.

“Kita ada kuasa itu, boleh dilaksanakan, tetapi buat masa ini belum. Kita masih mengkaji.

“Pada waktu ini, kesalahan adalah tertumpu kepada penghantaran penyalahgunaan perkhidmatan rangkaian serta penyalahgunaan kandungan untuk berkomunikasi dengan kandungan jelik melampau.

“Pada masa sama, perkara ini diserahkan kepada Kementerian Digital untuk menggubal akta tertentu bagi mengawal selia penggunaan aplikasi kecerdasan buatan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Hari Keselamatan Internet Sedunia di Tasik Titiwangsa, di sini hari ini.

Fahmi berkata AI mempunyai potensi besar untuk dimanfaatkan secara positif, namun pada masa sama boleh disalahgunakan.

Ini termasuk bagi tujuan penyuntingan gambar dan video yang tidak wajar jika tidak dikendalikan dengan berhemah.

Menurutnya, pendekatan berhati-hati diperlukan bagi memastikan sebarang bentuk kawal selia dapat dilaksanakan secara berkesan tanpa mengekang inovasi dan perkembangan ekosistem digital negara.

“Kita tidak menolak kemungkinan itu, tetapi buat masa ini, fokus kita ialah meneliti secara menyeluruh sebelum sebarang keputusan dibuat,” katanya.