
LABUAN, 8 Februari – Lebih 2,000 peserta menyertai Program Fun Walk Wilayahku sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan (HWP) 2026 peringkat Labuan yang berlangsung di perkarangan Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan, di sini, hari ini.
- Program diselaraskan Jabatan Belia dan Sukan Labuan, menghimpunkan peserta berbilang lapisan masyarakat dengan penuh meriah.
- Acara menzahirkan keharmonian dan perpaduan komuniti setempat sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan.
- Aktiviti termasuk senamrobik, pertandingan pakaian kreatif Sayangi Wilayahku, boling padang, sukan rakyat, bola sepak pantai dan memancing.
- 19 badan sukan menerima Bantuan MADANI sebanyak RM60,000 untuk sokong pembangunan dan aktiviti sukan di Labuan.
Program yang bermula seawal 6.30 pagi itu diselaraskan oleh Jabatan Belia dan Sukan Labuan dan berjaya menghimpunkan peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat dengan pakaian berwarna-warni.
Acara itu sekali gus memeriahkan sambutan serta menzahirkan keharmonian dan perpaduan komuniti setempat.
Majlis pelepasan peserta disempurnakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Lo Su Fui selepas para peserta mengikuti sesi senamrobik beramai-ramai.
Program berkenaan turut dimeriahkan dengan pertandingan pakaian kreatif bertemakan Sayangi Wilayahku.
Antara aktiviti sukan yang diadakan ialah pertandingan boling padang antara agensi kerajaan, sukan rakyat, bola sepak pantai serta pertandingan memancing yang terbuka kepada orang ramai.
Pada masa sama, majlis penyampaian Bantuan MADANI kepada badan sukan Wilayah Persekutuan Labuan 2026 turut diadakan di perkarangan Plaza Berpayung Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan.
Sebanyak 19 badan sukan di Labuan menerima bantuan berjumlah keseluruhan RM60,000 bagi menyokong pembangunan dan penggiatan aktiviti sukan di wilayah itu.