
KUALA LUMPUR, 8 Februari – Sambutan Hari Keselamatan Internet (HKI) 2026 yang dirasmikan Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil hari ini menjadi platform penting dalam memperkukuh perlindungan kanak-kanak, remaja dan institusi keluarga dalam ekosistem digital negara.
- Perkukuh perlindungan kanak-kanak, remaja dan keluarga dalam penggunaan internet secara selamat dan bertanggungjawab.
- Gabungan kerajaan, industri, komuniti dan keluarga melalui pendidikan, penguatkuasaan dan pematuhan platform.
- Pelaksanaan undang-undang dan kawal selia termasuk had umur pendaftaran akaun media sosial bawah 16 tahun.
Sambutan anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang berlangsung di Taman Tasik Titiwangsa itu menyatukan peranan kerajaan, industri, komuniti dan keluarga bagi membina masyarakat digital yang berdaya tahan serta berpengetahuan.
“HKI merupakan inisiatif global yang menekankan penggunaan Internet secara selamat, beretika dan bertanggungjawab, khususnya bagi melindungi golongan muda serta memperkukuh institusi keluarga.
“Pendekatan bersepadu yang melibatkan penguatkuasaan, pematuhan platform, pendidikan pengguna dan kesedaran awam amat penting bagi memastikan ekosistem digital negara diurus secara holistik,” menurut kenyataan itu pada Ahad.
Tambah MCMC, pelbagai aktiviti berteraskan pendidikan, pencegahan dan penglibatan awam dianjurkan termasuk pendedahan praktikal mengenai kawalan ibu bapa, perlindungan akaun digital serta langkah mengelakkan penipuan dalam talian.
Sambutan itu turut dimeriahkan dengan reruai pameran interaktif, aktiviti pendidikan digital, e-sukan, permainan berkonsepkan keselamatan siber serta persembahan hiburan yang berjaya menarik penyertaan merentas generasi.
Pada majlis sama, Kempen Internet Selamat (KIS) 2026 turut dilancarkan sebagai kesinambungan kepada inisiatif tahun lalu, dengan menyasarkan sejuta rakyat Malaysia dalam latihan pengetahuan dan kemahiran keselamatan dalam talian.
HKI 2026 juga menandakan kemuncak kepada usaha pembaharuan perundangan dan kawal selia yang sedang dilaksanakan, termasuk penguatkuasaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 sejak 1 Jan 2026.
Ini termasuk pelaksanaan had umur pendaftaran satu akaun media sosial bagi individu bawah 16 tahun menerusi pendekatan medan ujian regulatori.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Abdul Halim Hamzah, Pengerusi MCMC Mohamad Salim Fateh Din, Datuk Bandar Kuala Lumpur Fadlun Mak Ujud, rakan strategik serta pemain industri.