Krisis kebuluran semakin buruk di wilayah Darfur Barat, Sudan

FOTO REUTERS

GENEVA, 6 Februari – Krisis kebuluran semakin buruk di wilayah Darfur Barat, Sudan, susulan konflik berlarutan antara tentera kerajaan dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) yang menyebabkan jutaan penduduk kelaparan, kehilangan tempat tinggal dan terputus bantuan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Krisis kebuluran di Darfur Barat semakin buruk akibat konflik berterusan antara tentera kerajaan dan RSF.
  • Jutaan penduduk kehilangan tempat tinggal dan akses makanan, meningkatkan risiko kematian dan penderitaan meluas.
  • Akses bantuan dan perkhidmatan pemakanan terhad, kanak-kanak terutamanya sangat terkesan.
  • Penaklukan kawasan strategik mempercepat pemindahan besar-besaran dan kekurangan sumber di bandar berhampiran.

Perang yang tercetus sejak April 2023 itu bukan sahaja mengorbankan puluhan ribu nyawa, malah memaksa kira-kira 11 juta penduduk meninggalkan kediaman mereka, sekali gus mencetuskan salah satu krisis kemanusiaan terburuk dunia ketika ini.

Pakar Klasifikasi Fasa Keselamatan Makanan Bersepadu (IPC) memaklumkan tahap kebuluran kritikal akibat kekurangan zat makanan akut telah direkodkan di kawasan Um Baru dan Kernoi di Darfur Utara, berhampiran sempadan Chad.

“Kadar kekurangan zat yang membimbangkan ini meningkatkan risiko kematian, selain menimbulkan kebimbangan bahawa kawasan berhampiran mungkin mengalami keadaan kemanusiaan yang sama buruk,” kata pakar IPC.

Keadaan bertambah parah selepas RSF menguasai El-Fasher, ibu negeri Darfur Utara, yang mencetuskan pemindahan besar-besaran penduduk awam ke kawasan sekitar yang sedia tertekan dengan kekurangan makanan dan perkhidmatan asas.

El-Fasher, yang sebelum ini menjadi kubu terakhir tentera Sudan di Darfur, tumbang kepada RSF selepas berdepan pengeboman dan sekatan bekalan selama lebih setahun, dengan kejatuhannya turut disertai laporan pembunuhan beramai-ramai, rogol dan penculikan.

PBB memaklumkan sekurang-kurangnya 127,000 penduduk terpaksa melarikan diri ke bandar berhampiran yang turut berdepan kekurangan sumber.

Di seluruh Darfur, akses kepada bantuan menyelamatkan nyawa dan perkhidmatan pemakanan kekal terhad, dengan kanak-kanak antara golongan paling terkesan akibat kekurangan rawatan.

Menurut PBB, secara keseluruhan, lebih 21 juta penduduk Sudan kini berdepan ketidakjaminan makanan akut, manakala hampir dua pertiga daripada populasi negara itu memerlukan bantuan kemanusiaan segera.-AFP