
KUALA LUMPUR, 5 Februari – SARA Untuk Semua bermula 9 Februari ini melibatkan bantuan sekali beri RM100 yang dikreditkan terus ke MyKad, sebagai inisiatif memperkukuh jaringan keselamatan sosial negara dalam membantu rakyat menangani peningkatan kos sara hidup.
- SARA Untuk Semua bermula 9 Februari dengan bantuan sekali beri RM100 dikreditkan terus ke MyKad tanpa permohonan.
- Peruntukan RM2.2 bilion disediakan untuk semua warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas.
- Kredit sah sehingga 31 Disember 2026 dan semakan kelayakan boleh dibuat di portal sara.gov.my.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, peruntukan RM2.2 bilion disediakan bagi memanfaatkan semua warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas, tanpa memerlukan sebarang permohonan.
“Pada 9 Februari 2026 ini, SARA Untuk Semua iaitu bantuan sekali beri RM100 melalui MyKad akan bermula. Peruntukan RM2.2 bilion disediakan untuk manfaat semua warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas.
“Tiada permohonan diperlukan dan ia akan dikreditkan secara automatik ke MyKad masing-masing serta sah digunakan sehingga 31 Disember 2026. Semakan kelayakan boleh mulai dibuat hari ini dengan melayari portal sara.gov.my,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Sekijang, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkenaan jumlah peruntukan program SARA melalui sistem MyKasih yang dibelanjakan sepanjang 2025 serta nilai sebenar transaksi dijana dalam pasaran tempatan, di Dewan Rakyat hari ini.
Langkah itu melengkapkan pelaksanaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang sebelum ini merekodkan kadar penggunaan tinggi, di samping memastikan manfaat bantuan dapat dinikmati secara lebih menyeluruh oleh seluruh rakyat Malaysia.