Venezuela bebaskan semua rakyat Amerika yang ditahan

Foto REUTERS

CARACAS, 31 Januari – Pihak berkuasa Amerika Syarikat pada Jumaat memaklumkan semua rakyat Amerika yang ditahan di Venezuela telah dibebaskan, oleh kepimpinan baharu negara Amerika Selatan itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kedutaan AS mengesahkan pembebasan semua warga Amerika yang ditahan di Venezuela.
  • Pembebasan berlaku selepas pembebasan tahanan politik Arturo Gallino Rullier.
  • Hubungan AS-Venezuela reda selepas operasi pasukan khas AS yang menahan Presiden Maduro.
  • Kerajaan sementara membuka sektor minyak untuk pelaburan asing dan usaha pemulihan hubungan dengan AS.

Kedutaan Amerika Syarikat di Caracas menerusi hantaran di media sosial memaklumkan, pihaknya mengesahkan pembebasan semua warganegara Amerika yang sebelum ini ditahan oleh pihak berkuasa Venezuela.

Pengumuman itu dibuat beberapa jam selepas pembebasan tahanan politik berdarah campuran Peru-Amerika Syarikat, Arturo Gallino Rullier.

Beliau kini dalam perjalanan pulang ke Amerika Syarikat, menurut kenyataan pertubuhan bukan kerajaan, Foro Penal. Gallino ditahan pada November lalu atas pertuduhan yang tidak dinyatakan.

Sejak beberapa tahun lalu, Venezuela sering menahan warga asing atas pelbagai pertuduhan termasuk pengintipan dan merancang serangan.

Kerajaan-kerajaan asing sebelum ini mendakwa pertuduhan tersebut direka dan penahanan berkenaan lebih menyerupai tindakan menjadikan mereka sebagai tebusan politik.

Bagaimanapun, hubungan tegang selama beberapa dekad antara Venezuela dan Amerika Syarikat mula reda selepas pasukan khas AS melancarkan operasi di Caracas bulan ini yang menyaksikan penahanan Presiden, Nicolas Maduro.

Susulan perkembangan itu, pembebasan tahanan berlaku secara berperingkat.

Dalam perkembangan sama, Presiden sementara Venezuela, Delcy Rodriguez, turut mengambil langkah membuka sektor minyak negara itu kepada pelaburan asing dan menyatakan kesediaan untuk membangunkan hubungan dengan Amerika Syarikat.

Namun, usaha melonggarkan cengkaman kuasa kerajaan yang disokong tentera dilihat berjalan lebih perlahan.

Kerajaan Venezuela mendakwa telah membebaskan lebih 800 tahanan sejak tahun lalu, namun pertubuhan hak asasi manusia menganggarkan sekitar 400 orang dibebaskan sejak Disember, dengan kira-kira 300 pembebasan berlaku selepas pengumuman oleh Rodriguez, menurut Foro Penal.

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, dilaporkan bersetuju untuk bekerjasama dengan kepimpinan sementara Venezuela selagi Caracas mematuhi kepentingan Washington, khususnya berkaitan akses kepada sumber minyak negara itu yang besar. – AFP