Wanita bebas pertuduhan pengabaian kanak-kanak lelaki

Foto BERNAMA

IPOH, 26 Januari – Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini melepas dan membebaskan seorang wanita daripada pertuduhan mengabaikan kanak-kanak yang juga anak asuhannya sehingga menyebabkan kecederaan pada mata.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pertuduhan mengabaikan kanak-kanak terhadap Norriza Khamis dibicarakan di Mahkamah Sesyen Ipoh.
  • Hakim Ainul Shahrin mendapati pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah.
  • Norriza dilepas dan dibebaskan, wang jaminan dikembalikan.
  • Perbicaraan berlangsung Mac hingga Disember 2025 dengan 8 saksi pendakwaan dan 2 saksi pembelaan.

Hakim Ainul Shahrin Mohamad membuat keputusan itu terhadap Norriza Khamis, 48, selepas mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah di dalam kes.

“Oleh yang demikian tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan. Wang jaminan dikembalikan,” katanya.

Norriza didakwa meninggalkan kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun tanpa persediaan, pengawasan dan pemeliharaan munasabah di sebuah rumah di Taman Putra Permai 2, di sini, pada 24 Julai 2023.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya R.S. Vitthiyeswary manakala tertuduh diwakili peguam Mahinderjit Singh dan Mohamad Khazali Yin.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 33(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan berlangsung dari 19 Mac hingga 17 Disember 2025, melibatkan lapan saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan termasuk tertuduh.

Majlis Konvensyen INFRA rai, tauliah 179 graduan

Artikel Tajaan