
KUALA TERENGGANU, 16 Januari – Terengganu FC (TFC) bakal menerima ketua jurulatih baharu sebaik proses dokumentasi calon itu selesai.
- TFC akan melantik ketua jurulatih baharu setelah proses dokumentasi dan surat pelepasan calon selesai.
- Calon dipilih memenuhi semua ciri diperlukan; identiti belum didedahkan untuk menjaga proses dokumentasi.
- TFC mempertimbangkan menambah seorang pemain import di posisi serangan sebelum jendela perpindahan tutup.
- Kelab sudah merekrut dua import dan seorang pemain pinjaman, kini berada di tangga kelima Liga Super.
Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) Hishamudin Abdul Karim berkata pihaknya sudah mempunyai calon yang sesuai dan menepati semua ciri atau aspek diperlukan kelab.
“Buat masa ini, mesyuarat lembaga pengarah TFC serta teknikal kelab bersetuju untuk melantik ketua jurulatih baharu bagi membimbing skuad Penyu yang ketika ini digalas Tengku Hazman Raja Hassan.
“Setakat ini, perkembangan itu positif tetapi ada beberapa perkara di pihak jurulatih berkenaan yang perlu diselesaikan khususnya proses dokumentasi dan surat pelepasan di pihak sana iaitu majikan ketua jurulatih semasa,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Ketika ditanya mengenai identiti sebenar calon berkenaan, Hishamuddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Terengganu berkata perkara itu belum dapat didedahkan kerana dikhuatiri menganggu proses dokumentasi yang sedang berjalan.
“Calon boleh jadi jurulatih tempatan mahupun import masing-masing masih terikat dan kami belum boleh dedahkan. Oleh itu, saya harap peminat dapat tunggu pengumuman TFC sedikit masa lagi,” katanya, yang menolak spekulasi berkaitan kehadiran Tan Cheng Hoe dan Mohd Nafuzi Zain.
Selain itu, Hishamuddin berkata TFC juga sedang mempertimbangkan kemasukan seorang lagi pemain import di posisi serangan pada jendela perpindahan kedua yang akan ditutup akhir bulan ini.
Beliau berkata pihak kelab telah mengemukakan beberapa nama pemain berpotensi bagi memperkukuh prestasi pasukan dalam mengharungi baki saingan Liga Super dan cabaran Piala Malaysia.
“Ada beberapa nama yang sudah dipersetujui dan dinilai oleh barisan kejurulatihan tetapi kami tunggu dan nilai untuk dapat yang betul-betul puas hati,” katanya.
TFC baru-baru ini merekrut dua tonggak import dan seorang pemain tempatan bagi membantu pasukan mencapai sasaran yang ditetapkan bagi musim 2025/2026.
Pemain import yang dibawa masuk ialah Panshanbe Ehsoni dan Shervoni Mabatshoev dari Tajikistan manakala tonggak tempatan Muhammad Haqimi Azim Rosli yang dipinjamkan Johor Darul Ta’zim (JDT).
TFC yang berpengkalan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Kuala Nerus ketika ini berada di tempat kelima Liga Super di belakang Kuching City FC setelah mengumpul 24 mata daripada 15 perlawanan. – BERNAMA