ATM komited mempertahankan kedaulatan negara

Gambar hiasan/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 13 Januari – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menegaskan komitmen teguh dalam mempertahankan kedaulatan negara berlandaskan misi dan visi yang telah digariskan, meskipun berdepan pelbagai cabaran dan isu yang mendapat perhatian masyarakat.

RINGKASAN BERITA AI
  • ATM komited mempertahankan kedaulatan negara berdasarkan misi dan visi institusi.
  • Isu masyarakat ditangani secara terbuka, berfakta dan bertanggungjawab untuk memelihara kepercayaan rakyat.
  • Salah laku individu akan disiasat dan ditangani tanpa kompromi bagi melindungi imej organisasi.
  • ATM terus diterajui pegawai ikhlas, profesional dan berintegriti demi keselamatan negara.

ATM dalam satu kenyataan menegaskan, setiap isu yang dibangkitkan masyarakat dipandang serius dan ditangani secara terbuka, berfakta serta bertanggungjawab bagi memastikan kepercayaan rakyat terhadap institusi pertahanan negara terus terpelihara.

Sebarang bentuk salah laku individu yang boleh mencemarkan imej dan kredibiliti organisasi juga akan ditangani tanpa kompromi.

“ATM akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada mana-mana pihak berkuasa atau agensi berkaitan yang menjalankan siasatan, selaras dengan prinsip ketelusan, akauntabiliti dan kedaulatan undang-undang.

“Segala siasatan yang sedang dijalankan kini memerlukan masa dan penelitian yang rapi bagi memastikan setiap tindakan yang diambil adalah adil, berlandaskan fakta, dan tidak dipengaruhi oleh mana-mana tekanan luar,” menurut kenyataan itu.

ATM menegaskan, institusi itu juga masih diterajui oleh pegawai dan anggota yang ikhlas berkhidmat, menjunjung amanah serta mengutamakan kepentingan perkhidmatan berbanding kepentingan peribadi.

“ATM akan terus melangkah ke hadapan sebagai institusi pertahanan negara yang profesional, berintegriti dan diyakini demi memastikan keselamatan serta kedaulatan tanah air sentiasa terpelihara,” katanya.