
PUTRAJAYA, 6 Februari – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melaksanakan skim kawalan harga barang ke atas 16 jenis barangan bersempena dengan sambutan Tahun Baharu Cina.
- KPDN melaksanakan skim kawalan harga maksimum ke atas 16 barangan sempena Tahun Baharu Cina.
- Skim bertujuan memastikan kestabilan harga dan melindungi pengguna daripada kenaikan tidak munasabah.
- Pengumuman rasmi mengenai inisiatif akan dikeluarkan oleh KPDN dalam masa terdekat.
- Pelaksanaan skim berlangsung sembilan hari dari 13 hingga 21 Februari.
Menteri Komunikasi yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu telah dimaklumkan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali pada mesyuarat jemaah menteri hari ini.
“Sebanyak 16 jenis barangan akan dikawal harga di bawah skim harga maksimum sempena musim perayaan Tahun Baharu Cina tahun 2026.
“Langkah ini bertujuan memastikan kestabilan harga dan melindungi pengguna daripada kenaikan harga yang tidak munasabah, terutama semasa musim perayaan,” katanya dalam sidang media di Kementerian Komunikasi di sini.
Dalam pada itu pihak KPDN juga akan mengeluarkan kenyataan berhubung inisiatif berkenaan dalam tempoh terdekat. Inisiatif berkenaan akan dilaksanakan selama sembilan hari bermula 13 sehingga 21 Februari minggu depan.