
PUTRAJAYA, 18 Mac – Pembayar cukai individu yang tersilap menandakan ruangan “Cukai ditanggung oleh majikan” pada Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) bagi Tahun Taksiran 2025 tidak perlu mengemukakan pindaan borang berkenaan.
- LHDN telah menjalankan semakan dan mengenal pasti kes yang terlibat.
- Bayaran balik lebihan cukai untuk kes yang disahkan akan diproses secara berperingkat oleh LHDN.
- Sistem memproses bayaran balik secara automatik berdasarkan maklumat BNCP; ketepatan maklumat penting untuk kelancaran proses.
Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam kenyataan hari ini memaklumkan semakan telah dilaksanakan dan kes yang terlibat berjaya dikenal pasti.
“LHDN mengambil maklum bahawa terdapat pembayar cukai individu yang telah menandakan ruangan ‘Cukai ditanggung oleh majikan’ secara tidak sengaja semasa mengisi BNCP Tahun Taksiran 2025 dan menyebabkan bayaran balik lebihan cukai masih belum diterima.
“Bagi kes yang disahkan sebagai kesilapan penandaan, bayaran balik lebihan cukai akan diproses secara berperingkat oleh LHDN,” menurut kenyataan itu.
LHDN memaklumkan sistem pemprosesan bayaran balik cukai dilaksanakan secara automatik berdasarkan maklumat yang dikemukakan oleh pembayar cukai dalam BNCP.
“Oleh itu, ketepatan maklumat yang diisikan adalah penting bagi memastikan proses bayaran balik dapat dilaksanakan dengan lancar dan tanpa sebarang kelewatan,” menurut LHDN.
Dalam masa sama, LHDN komited untuk terus memastikan pengurusan bayaran balik cukai dilaksanakan secara adil, telus dan berintegriti selaras dengan usaha berterusan untuk memperkukuh kecekapan pentadbiran percukaian negara. – BERNAMA