
ALOR SETAR, 4 Mac – Bagi menghargai pengorbanan anggota barisan hadapan yang bertugas di lapangan sepanjang Ramadan, Polis Daerah Kota Setar menganjurkan Majlis Berbuka Puasa bersama petugas terlibat di Dataran Medan, di sini.
- Polis Daerah Kota Setar menganjurkan majlis berbuka puasa untuk menghargai anggota barisan hadapan yang bertugas sepanjang Ramadan.
- Hadirin termasuk kepimpinan polis, unit rondaan dan rakan strategik komuniti seperti Lions Club of Alor Setar.
- Program bertujuan mengeratkan silaturahim, menghargai pengorbanan dan memupuk semangat kebersamaan antara pasukan dan komuniti.
Majlis tersebut dihadiri Ketua Polis Daerah Kota Setar, Penolong Pesuruhjaya Polis ACP Syed Basri Syed Ali; Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Setar, Penguasa Polis Supt Hilmi Ahmad; ketua-ketua bahagian; Ketua Polis Balai Alor Setar; pegawai-pegawai kanan serta pegawai rendah polis daripada Unit Kereta Peronda (MPV), Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik yang sedang melaksanakan tugas di lapangan.
Turut hadir rakan strategik komuniti, Lions Club of Alor Setar yang diketuai Organizing Chairperson, Lee Chu Jiang; Kabinet Daerah Perkhidmatan Kesihatan, Kelab Lions Antarabangsa Daerah 308-B-2, Datuk Dr Cheng Joo An; serta ahli-ahli kelab berkenaan yang bersama-sama menyampaikan juadah berbuka puasa kepada anggota bertugas.
Dalam majlis sama, ACP Syed Basri turut meluangkan masa menyantuni pengunjung yang hadir berbuka puasa di Dataran Medan sebagai tanda keprihatinan, sekali gus mendekati masyarakat dalam suasana Ramadan yang penuh keberkatan.
Program berkenaan bertujuan menghargai komitmen dan pengorbanan anggota barisan hadapan selain mengeratkan hubungan silaturahim antara kepimpinan, warga pasukan dan komuniti setempat, seterusnya memupuk semangat kebersamaan.