
KUALA LUMPUR, 30 Januari – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengadakan lawatan ke Batu Caves bagi meninjau persiapan sambutan Hari Thaipusam yang akan diraikan oleh penganut Hindu pada Ahad.
- PM meninjau persiapan di Kuil Sri Subramaniar Swamy Batu Caves untuk menyelenggara sambutan Thaipusam dengan lancar.
- Lawatan termasuk pemeriksaan laluan perarakan, reruai MADANI dan perkhidmatan seperti pemeriksaan kesihatan kepada pengunjung.
- 12 persimpangan utama di ibu negara akan ditutup dan dilencongkan untuk melancarkan perarakan pedati malam ini.
Lawatan tersebut tertumpu di Kuil Sri Subramaniar Swamy Batu Caves, yang merupakan lokasi utama perayaan Thaipusam dan menjadi tumpuan penganut Hindu dari dalam serta luar negara setiap tahun.
Ketibaan Perdana Menteri kira-kira pukul 2.30 petang disambut Menteri Digital, Gobind Singh Deo, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari serta pihak pengurusan kuil.
Sepanjang lawatan, Datuk Seri Anwar dibawa meninjau beberapa lokasi utama termasuk laluan perarakan pedati serta reruai kementerian dan agensi di tapak MADANI Thaipusam yang menyediakan pelbagai perkhidmatan kepada pengunjung, antaranya pemeriksaan kesihatan.
Beliau turut meluangkan masa beramah mesra bersama penganut serta sukarelawan yang terlibat dalam persiapan sambutan, selain menghadiri sesi taklimat bersama pihak pengurusan bagi memastikan perayaan berlangsung dengan lancar dan selamat.
Sementara itu, perarakan pedati dari Kuil Sri Maha Mariamman Dhevasthanam di Jalan Tun H.S. Lee menuju ke Batu Caves, yang bermula pukul 9.00 malam ini, menandakan permulaan rasmi sambutan Thaipusam.
Bagi melancarkan perarakan, sebanyak 12 persimpangan utama di sekitar ibu negara akan ditutup dan dilencongkan secara berperingkat.