PM ajak umat Islam syukuri kehadiran Ramadan

FOTO BERNAMA

KUALA LUMPUR, 18 Februari – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak umat Islam memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT atas kesempatan sekali lagi dipertemukan dengan bulan Ramadan yang mulia dan penuh keberkatan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Anwar menyeru umat Islam bersyukur atas kehadiran Ramadan dan menghargai keberkatan bulan mulia.
  • Puasa dan amalan Ramadan bertujuan membentuk takwa, meningkatkan keimanan serta tarbiyah pembentukan watak.
  • Semangat mujahadah dijadikan dorongan meningkatkan komitmen, integriti dan kesungguhan dalam tugas harian.

Menerusi satu hantaran di laman Facebook rasminya, Datuk Seri Anwar menekankan, tuntutan ibadah puasa dan amalan sepanjang Ramadan bukan sekadar memenuhi syarat dan rukun, sebaliknya bertujuan mencapai hikmah serta objektif syariat, khususnya dalam membentuk ketakwaan dan memperkukuh keimanan.

“Puncak kenikmatan disebalik amalan ini adalah pencapaian takwa yang harus dilaksanakan dengan ibadah puasa melalui proses tarbiyah pembentukan watak, berakar kepada kesedaran hati nurani dan kewaspadaan batin yang dibangkitkan oleh rasa takut kepada Allah SWT,” menurut hantaran tersebut.

Beliau turut berkongsi doa Rasulullah SAW ketika melihat anak bulan Ramadan yang memohon keamanan, keimanan, keselamatan dan kesejahteraan daripada Allah SWT.

Dalam pada itu, Perdana Menteri menyeru agar semangat mujahadah dalam melaksanakan ibadah diterjemahkan bukan sahaja demi ganjaran ukhrawi, malah bagi meningkatkan komitmen, integriti dan kesungguhan dalam melaksanakan tugas serta tanggungjawab harian.

Petikan Surah al-‘Ankabut ayat 69 turut dikongsikan sebagai peringatan bahawa Allah SWT menjanjikan petunjuk dan pertolongan kepada mereka yang bersungguh-sungguh dalam memperbaiki amalan.