Op Selamat 25: 17 Lokasi hotspot dan blackspot dikenal pasti di Melaka

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar ditemui pemberita pada Majlis Pelancaran OP Selamat 25 sempena Tahun Baharu Cina di Dataran MBMB, di Ayer Keroh/RTM

AYER KEROH, 12 Februari -Sebanyak 10 lokasi ‘hotspot’ dan tujuh lokasi ‘blackspot’ di Melaka dikenal pasti sepanjang Op Selamat 25 sempena Tahun Baharu Cina 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • 10 lokasi hotspot dan tujuh blackspot di Melaka dikenal pasti sepanjang Op Selamat 25 sempena Tahun Baharu Cina 2026.
  • Lokasi melibatkan jalan persekutuan, negeri, bandaran dan laluan yang dipantau JSPT Melaka.
  • Lebih 160 anggota dan pegawai polis ditugaskan dari 15 hingga 20 Februari untuk kawalan dan pemantauan.
  • Sasaran pengurangan sekurang-kurangnya 5% kes kemalangan jalan raya berbanding tahun lalu.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, lokasi tersebut melibatkan jalan persekutuan, jalan negeri, jalan bandaran serta laluan yang diberi perhatian oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Melaka.

Katanya, lebih 160 anggota dan pegawai polis ditugaskan sepanjang operasi yang berlangsung dari 15 hingga 20 Februari.

“Kami mengenal pasti kawasan ‘hotspot’ dan ‘blackspot’. Bagi kawasan yang sibuk, kami akan menempatkan anggota untuk ‘point duty’, termasuk di jalan-jalan serta pintu masuk utama.

“Bagi kawasan ‘blackspot’ pula, ia melibatkan lokasi yang kerap berlaku kemalangan. Anggota turut ditempatkan untuk tujuan pemantauan kerana kemalangan bukan sahaja berpunca daripada kecuaian manusia, malah mungkin disebabkan faktor fizikal jalan itu sendiri.

“Jika keadaan jalan didapati kurang baik atau berisiko, kami akan menempatkan anggota supaya pengguna jalan raya lebih berhati-hati apabila melihat kehadiran polis,” katanya kepada pemberitaselepas Majlis Pelancaran OP Selamat 25 sempena Tahun Baharu Cina di Dataran MBMB, di sini.

Sementara itu, pihaknya menyasarkan pengurangan sekurang-kurangnya lima peratus kes kemalangan jalan raya sepanjang OP Selamat kali ini berbanding tahun lalu.