
KUALA LUMPUR, 12 Februari- Penggunaan MyKad sebagai mekanisme pengesahan kelayakan subsidi melalui program Budi MADANI RON95 (BUDI95) terbukti berkesan dan memastikan subsidi disalurkan tepat kepada golongan sasar, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
- Lebih 14.6 juta rakyat menikmati subsidi RON95 dengan harga RM1.99 seliter melalui program BUDI95.
- MyKad terbukti berkesan sebagai pengesahan subsidi, merekodkan 99% penggunaan untuk SARA 2025.
- Kerajaan membayar balik lebihan cukai tertinggi RM22.45 bilion pada 2025, sebahagian daripada jumlah RM56 bilion (2023-2025).
Jelas beliau, sehingga 11 Februari 2026, lebih 14.6 juta rakyat menikmati harga petrol RON95 bersubsidi RM1.99 seliter dengan sistem memproses purata 3.1 juta transaksi sehari tanpa gangguan.
“Pelaksanaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) 2025 juga merekodkan kadar penggunaan 99 peratus melalui MyKad, sekali gus mengesahkan keberkesanan pendekatan tersebut,” katanya menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah di Dewan Rakyat hari ini.
Melangkah ke hadapan, beliau berkata kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang mengkaji penggunaan MyKad untuk Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (COSS).
Katanya penelitian lanjut sedang dilaksanakan untuk meluaskan penggunaan ekosistem sedia ada berasaskan MyKad, termasuk integrasi dengan sistem Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bagi memperkukuh pengesahan identiti dalam pemantauan penjualan minyak masak bersubsidi.
Dalam masa sama, Datuk Seri Amir memaklumkan kerajaan berjaya menyelesaikan bayaran balik lebihan cukai tertinggi dalam tempoh lima tahun iaitu berjumlah RM22.45 bilion pada 2025 melibatkan 3.5 juta kes.
Katanya, bagi tempoh 2023 hingga 2025, jumlah bayaran balik lebihan cukai yang telah dilunaskan mencecah RM56 bilion, meningkat kira-kira 50 peratus berbanding RM37 bilion bagi tempoh 2020 hingga 2022.
“Sebahagian bayaran balik berjumlah RM7.5 bilion telah dibuat pada Disember 2025 berbanding pengumuman awal RM4 bilion pada 6 Disember 2025 oleh Perdana Menteri,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Tambah beliau, bagi tahun taksiran 2023, kerajaan yakin penyelesaian penuh dapat dicapai lebih awal daripada sasaran suku pertama 2026 iaitu seawal Februari.