
GUA MUSANG, 15 Mac – Laluan sementara projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) Pakej 3B dan 3C berhampiran Taman Wangi di Gua Musang, Kelantan yang sebelum ini rosak akhirnya siap dibaiki dan kembali dibuka kepada semua kenderaan hari ini.
- Pembaikan disiapkan mengikut jadual, memberi kelegaan kepada orang ramai terutama perantau menjelang Hari Raya Aidilfitri.
- Pengguna bimbang keadaan jalan berlubang boleh membahayakan dan menyebabkan kerosakan kenderaan.
- Pemantauan muatan lori perlu dipertingkat bagi memastikan keadaan jalan sentiasa baik dan selamat.
- Kerja pembaikan termasuk penurapan baru, pemasangan palang halang kenderaan berat dan lampu jalan untuk keselamatan malam.
Pembaikan laluan tersebut disiapkan mengikut jadual telah memberi kelegaan kepada orang ramai terutamanya perantau yang dijangka mula pulang ke kampung halaman bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri beberapa hari lagi.
Menurut pengguna jalan raya Azhar Salleh, keadaan laluan tersebut sebelum ini agak membimbangkan kerana permukaan jalan rosak dan berlubang.
“Syukur Alhamdulillah. Kita memang mengharapkan pihak berwajib memastikan jalan raya diselenggara dengan baik kerana keadaan jalan sebelum ini boleh membahayakan kenderaan.
“Alhamdulillah, dimaklumkan jalan tersebut telah dibaik pulih dan semua pengguna yang melalui laluan ke Kuala Lumpur berasa bersyukur dengan usaha itu.
“Kami juga mengucapkan terima kasih kepada pihak yang mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan lalu lintas berjalan lancar, insya-Allah,,” katanya.
Menurut Ibrahim Ismail, keadaan jalan yang berlubang di kiri dan kanan laluan menyukarkan pemandu untuk mengelak, sekali gus meningkatkan risiko kerosakan kenderaan.
“Kalau kereta tidak berapa baik, kita takut rosak apabila terlanggar lubang. Hendak mengelak pun sukar kerana kiri dan kanan jalan berlubang. Biasanya kesesakan berlaku dari Tanah Putih ke bandar kalau jalan itu tidak lancar,” katanya.
Menurut Mohd Razaleigh Mahmod pula, pemantauan terhadap muatan lori perlu dipertingkat bagi memastikan keadaan jalan raya sentiasa berada dalam keadaan baik serta selamat digunakan.
“Kalau ada kerosakan kecil pada jalan, ia perlu diambil tindakan segera. Saya juga lihat di Facebook ramai pengguna jalan raya mengadu kenderaan mereka sering pecah tayar apabila terlanggar lubang, terutama apabila pemandu tidak menyedari kewujudan lubang dan memandu laju,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Datuk Mohd Syahbuddin Hashim berkata, pihaknya mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) yang melaksanakan kerja pembaikan bagi memulihkan laluan tersebut.
Kerja pembaikan melibatkan penurapan baharu di laluan berkenaan bagi memastikan permukaan jalan lebih selesa dan selamat digunakan.
Selain itu, laluan tersebut juga dilengkapi palang bagi mengelak kenderaan berat melalui kawasan berkenaan serta pemasangan lampu jalan untuk meningkatkan tahap keselamatan pengguna pada waktu malam.