
KUALA LUMPUR ,18 Mac – Laluan percuma bas GoKL laluan GOKL11 untuk laluan MRT Maluri-Bandar Tun Razak diperluas dengan menyediakan hentian baharu di dalam kawasan Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC) mulai 1 April ini.
- Inisiatif DBKL tingkatkan akses pengangkutan awam untuk pesakit, waris dan warga kota mendapatkan rawatan di Hospital Rehabilitasi Cheras.
- Langkah sejajar dengan jangkaan peningkatan populasi warga emas menjelang 2030 dan tumpu memudahkan akses untuk warga emas serta pesakit mobiliti terjejas.
- Hospital Rehabilitasi Cheras ialah satu-satunya hospital rehabilitasi khusus di ibu negara menyediakan rawatan komprehensif pasca kecederaan, strok dan penyakit kronik.
- Hospital melaksanakan Program Kesejahteraan Geriatrik dan Komuniti Zon Cheras termasuk rehabilitasi, aktiviti fizikal, terapi luar dan ruang padang sebagai riadah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh berkata, inisiatif oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur tersebut bertujuan meningkatkan akses pengangkutan awam khususnya kepada pesakit, waris serta warga kota yang mendapatkan rawatan di hospital berkenaan.
“Usaha ini juga selari dengan jangkaan peningkatan populasi warga emas di Kuala Lumpur yang dianggarkan mencecah 11.7 peratus menjelang tahun 2030.
“Langkah ini bukan sekadar menambah laluan, tetapi memastikan kemudahan kesihatan kerajaan benar-benar boleh diakses oleh semua, khususnya warga emas dan pesakit yang berdepan cabaran mobiliti,” jelasnya dalam Sidang Media Inisiatif Baharu Pesakit Rehabilitasi di Hospital Rehabilitasi Cheras .
Hospital Rehabilitasi Cheras merupakan satu-satunya hospital rehabilitasi khusus di ibu negara yang menyediakan perkhidmatan pemulihan komprehensif kepada pesakit pasca kecederaan, strok dan penyakit kronik.
Dalam perkembangan sama, hospital tersebut turut melaksanakan Program Kesejahteraan Geriatrik dan Komuniti Warga Emas Zon Cheras di kawasan padangnya.
Program itu merangkumi elemen rehabilitasi, aktiviti fizikal serta penglibatan komuniti termasuk kesedaran penjagaan kesihatan, kemudahan terapi luar serta penggunaan padang sebagai ruang riadah aktif.
Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Dr. Wan Ismail hadir sama bagi melawat dan memberikan sumbangan kepada pesakit.
Turut hadir Ketua Pengarah JWP, Datuk Parang Abai @ Thomas, Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai, Pengarah Kesihatan Negeri WP KL & Putrajaya, Datin Dr. Haliza Abdul Manaf dan Pengarah Jabatan Pengangkutan Bandar DBKL, Encik Muhammad Azri Abdul Aziz.