
KUALA LUMPUR 9 Februari -Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) kini meneliti aspek teknikal pelaksanaan mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah mengikut Kurikulum Kebangsaan bagi semua aliran pendidikan di negara ini.
- KPM dan KPT meneliti pelaksanaan Bahasa Melayu dan Sejarah mengikut Kurikulum Kebangsaan untuk semua aliran sekolah.
- Fokus pada penilaian, peperiksaan dan pemantauan kualiti untuk sekolah antarabangsa, agama, tahfiz dan sekolah persendirian Cina.
- KPT akan ambil alih sistem prauniversiti termasuk matrikulasi dan tingkatan enam mulai tahun depan, dengan jawatankuasa pemandu bersama.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, fokus utama adalah kepada penilaian pembelajaran, peperiksaan serta pemantauan kualiti untuk sekolah antarabangsa, sekolah agama, maahad tahfiz, dan sekolah persendirian Cina.
Beliau menjelaskan, beberapa siri pertemuan telah diadakan, termasuk dengan Persekutuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia, Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia, Persatuan Sekolah Tahfiz, Sekolah Agama Rakyat, dan wakil sekolah antarabangsa.
“Dalam pertemuan tersebut, KPM membincangkan ketetapan pelajar di sekolah yang tidak berteraskan kurikulum kebangsaan menduduki Bahasa Melayu dan Sejarah di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Pihak KPM akan memaklumkan keputusan rasmi kepada semua pihak terlibat,” katanya pada sesi penggulungan perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat.
Datuk Seri Dr Zambry berkata, sesi libat urus turut diadakan bersama persatuan sekolah antarabangsa, jawatankuasa pendidikan Dewan Perniagaan British Malaysia (BMCC), Help International Schools Group, Sunway International Schools, dan Taylor’s Education Group.
Beliau menegaskan, sekolah antarabangsa, sekolah agama, dan sekolah menengah persendirian Cina telah menyediakan laluan peperiksaan SPM bagi membolehkan pelajar menyambung pengajian di institut pengajian tinggi awam (IPTA), dengan lebih 87 peratus pelajar sekolah persendirian Cina mengambil peperiksaan SPM.
Selain itu, katanya KPT dan KPM sedang meneliti perubahan struktur program matrikulasi dan tingkatan enam, termasuk aspek perundangan, kebajikan, kewangan, perjawatan, sistem, dan aset. Jawatankuasa Pemandu Bersama antara kedua kementerian ditubuhkan pada 19 Disember lepas bagi menilai semua aspek, termasuk pengoptimuman sumber sedia ada.
Kementerian Pendidikan Tinggi akan mengambil alih keseluruhan sistem prauniversiti, termasuk tingkatan enam dan matrikulasi, bermula tahun depan.