Kongsi rezeki 100 ekor ayam di DUN Mata Ayer bersempena Aidilfitri

Program Sumbangan Ayam Segar Bersempena Aidilfitri di Dewan Undangan Negeri (DUN) Mata Ayer, Perlis

KANGAR, 19 Mac – Sebanyak 100 ekor ayam siap proses disumbangkan kepada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP), pemuda serta kepimpinan wanita bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Mata Ayer, Perlis, bersempena sambutan Aidilfitri yang bakal tiba.

RINGKASAN BERITA AI
  • Inisiatif sumbangan ayam segar sebagai penghargaan terhadap komitmen berterusan kepimpinan komuniti.
  • Tujuan sumbangan ialah berkongsi rezeki dan membantu persiapan Aidilfitri keluarga penerima.
  • Penyelaras bersama rakan-rakan menyumbang sebagai tanda terima kasih kepada tulang belakang komuniti.

Penyelaras DUN Mata Ayer, Siti Berenee Yahaya berkata, inisiatif itu dilaksanakan sebagai tanda penghargaan terhadap komitmen berterusan kepimpinan komuniti dalam melaksanakan tanggungjawab kepada masyarakat setempat.

Menurut beliau, sumbangan ayam segar berkenaan juga bertujuan berkongsi rezeki serta membantu mereka membuat persediaan menyambut Aidilfitri bersama keluarga.

“Bukan sahaja pada bulan Ramadan, malah pada bulan-bulan lain juga mereka merupakan tulang belakang kepada komuniti di Mata Ayer yang sangat saya kagumi.

“Ini adalah sedikit sumbangan daripada pihak penyelaras bersama beberapa rakan yang turut berkongsi rezeki untuk program kita pada hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Sumbangan Ayam Segar Bersempena Aidilfitri kepada Pengerusi JPKKP dan kepimpinan wanita DUN Mata Ayer yang diadakan di Kampung Ngulang di sini.

Siti Berenee berharap sumbangan tersebut dapat menceriakan sambutan Aidilfitri penerima selain menjadi tanda penghargaan atas komitmen mereka dalam membantu pembangunan komuniti di kawasan berkenaan.