
KUALA LUMPUR, 2 Mac – Ekosistem bioteknologi negara melakar satu lagi pencapaian signifikan menerusi pemeteraian kerjasama penyelidikan strategik antara Universiti Malaya (UM) dan SATEERA, sebuah syarikat bioteknologi tempatan berstatus BioNexus.
- Kerjasama UM-SATEERA memadukan kecemerlangan akademik dan kebolehan industri untuk memacu aplikasi penyelidikan ke arah komersialisasi.
- Perjanjian menyokong dasar bioteknologi negara, mengukuhkan bioekonomi dan mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi.
- Teknologi Anti-Jangkitan Pintar SATEERA disokong pengesahan saintifik UM untuk solusi mampan melawan rintangan antimikrob.
Majlis pertukaran Memorandum Perjanjian (MoA) itu disaksikan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang.
Kerjasama berkenaan melambangkan kematangan ekosistem Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) negara yang menyaksikan kecemerlangan penyelidikan akademik digabungkan dengan keupayaan teknikal industri, sekali gus menterjemahkan hasil penyelidikan makmal kepada aplikasi komersial yang memberi impak nyata kepada masyarakat.
Dalam ucapannya, Chang menegaskan kerjasama tersebut mencerminkan keyakinan terhadap kekuatan saintifik tempatan untuk bersaing di peringkat antarabangsa.
“Kerjasama ini mencerminkan keyakinan jitu terhadap kekuatan saintifik dan potensi komersial syarikat dalam memartabatkan inovasi Malaysia ke persada global,” katanya.
Beliau menambah, pengukuhan itu selari dengan Dasar Bioteknologi Negara serta kerangka STI yang lebih progresif, yang telah membina asas bioekonomi mampan di Malaysia.
“Hasilnya, industri berasaskan bio kini bukan sahaja menyumbang puluhan juta ringgit kepada ekonomi negara, malah berjaya mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi buat bakat tempatan,” ujarnya.
Sinergi antara UM dan SATEERA bukan sekadar pencapaian teknologi, malah langkah proaktif dalam meningkatkan tahap kesihatan, kesejahteraan dan kualiti hidup rakyat.
Melalui perjanjian tersebut, kedua-dua pihak dijangka memperluas kajian pengesahan serta memperkukuh penglibatan penyelidikan dalam ekosistem bioteknologi, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pengeluar penyelesaian bioteknologi termaju di rantau ini.
Teknologi SATEERA memperkenalkan inovasi Anti-Jangkitan Pintar yang berupaya menghapuskan kuman berbahaya secara terpilih tanpa menjejaskan bakteria baik, sekali gus menawarkan penyelesaian mampan terhadap isu rintangan antimikrob.
Inovasi berteraskan modulasi mikrob itu telah dikomersialkan menerusi jenama penjagaan intim wanita, REDFORES, dan bakal menjalani penilaian saintifik lanjut bersama pakar akademik UM bagi memperkukuh kedudukannya sebagai produk kesihatan berasaskan bukti.