Kerajaan tolak pengapungan harga, elak beban rakyat – PM

Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 11 Februari- Kerajaan tidak memilih pendekatan pengapungan harga seperti disaran Bank Dunia dan beberapa pakar ekonomi kerana ia hanya akan membebankan rakyat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan menolak pengapungan harga kerana ia akan membebankan rakyat.
  • Melaksanakan penyasaran subsidi yang melindungi kira-kira 85 peratus rakyat.
  • Pelaksanaan BUDI95 ditetapkan RM1.99 seliter untuk manfaat pengguna dan berjalan licin.
  • Ketirisan subsidi berkurang tetapi beberapa kes terpencil sedang dikenal pasti.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sebaliknya kerajaan melaksanakan penyasaran subsidi yang berjaya melindungi 85 peratus rakyat Malaysia.

Menurut beliau, langkah itu turut menjimatkan kira-kira RM6 bilion bagi petrol dan RM5 bilion bagi diesel.

Harga BUDI95 pula ditetapkan pada RM1.99 seliter bagi memastikan penggunaan bahan api terus memanfaatkan rakyat.

“Alhamdulillah, pelaksanaannya (BUDI95) berjalan licin dan teratur. Kaedah yang diperkenalkan berjaya dilaksanakan dengan baik dan saya ucap tahniah kepada penjawat awam serta penguat kuasa. Ini satu kejayaan yang membanggakan.

“Sebanyak 3.1 juta urus niaga dalam satu hari dijalankan dengan baik,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan mengenai jumlah penjimatan yang dicapai melalui pelaksanaan BUDI95 sepanjang 2025, unjuran penjimatan bagi 2026 dan kaedah penggunaan penjimatan tersebut.

Tambahnya, selepas pelaksanaan BUDI95, ketirisan subsidi berjaya dikurangkan dengan ketara.

Namun, masih terdapat beberapa kes terpencil yang telah dan sedang dikenal pasti termasuk di Rantau Panjang, Tawau dan Perlis.