
SEBERANG JAYA, 5 Februari – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang kini menggunakan sepenuhnya kamera badan bagi anggota penguatkuasa dalam setiap operasi bermula tahun ini.
- JPJ Pulau Pinang mula guna sepenuhnya 14 unit kamera badan untuk anggota penguatkuasa dalam setiap operasi tahun ini.
- Kamera badan dipakai bergilir bagi merakam semua aktiviti sepanjang penugasan anggota JPJ.
- Langkah ini bertujuan tingkatkan ketelusan dan integriti serta menepis persepsi negatif terhadap penguatkuasa.
- JPJ akan pertingkatkan operasi bersepadu dengan AADK, Kastam dan Imigresen untuk tangani pemandu kenderaan berat.
Penggunaannya melibatkan 14 unit kamera yang akan dipakai secara bergilir setiap kali anggota menjalankan operasi penguatkuasaan.
Langkah itu bertujuan untuk memastikan ketelusan dan integriti anggota semasa bertugas, sekali gus dapat menepis pelbagai persepsi negatif masyarakat terhadap anggota penguatkuasa.
Pengarah JPJ Pulau Pinang, Zulkifly Ismail berkata, penggunaan peranti tersebut akan merakam setiap aktiviti sepanjang penugasan anggotanya dan akan menjadi bukti sekiranya terdapat sebarang isu berbangkit.
“Jadi kegunaan kamera badan inilah untuk merakam aktiviti yang dijalankan sepanjang penguatkuasaan dijalankan. Ini membuktikan pihak JPJ lebih serius dalam melaksanakan penguatkuasaan secara telus dan juga berintegriti.
“Diharap masyarakat akan lebih faham betapa telusnya anggota-anggota penguatkuasa ini dalam menjalankan tugas, katanya selepas Majlis Perhimpunan Setia Bil 1/2026 JPJ Pulau Pinang di sini.
Sementara itu, Zulkifly memaklumkan, JPJ akan mempertingkatkan operasi bersepadu bersama agensi lain termasuk Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Jabatan Imigresen Malaysia sepanjang tahun ini bagi menangani isu pemandu kenderaan berat.