Gaji sektor teknologi Malaysia atasi Jepun

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR, 20 Mac – Kadar gaji bagi beberapa jawatan utama dalam sektor teknologi di Malaysia dilaporkan meningkat, sekali gus mengatasi Jepun bagi peranan tertentu, menurut laporan yang dikongsi oleh Nikkei Asia.

RINGKASAN BERITA AI
  • Lonjakan pelaburan semikonduktor dan persaingan sengit sektor digital menyumbang kepada kenaikan gaji teknologi.
  • Julat gaji tahunan CTO di Malaysia dilaporkan 19 hingga 28 juta yen, berbanding Jepun 12 hingga 26 juta yen.
  • Pengarah IT di Malaysia mempunyai julat gaji 12 hingga 28 juta yen, manakala Jepun 15 hingga 25 juta yen.
  • Pengarah R&D dalam elektronik di Malaysia merekodkan julat gaji lebih tinggi berbanding Jepun.

Menerusi perkongsian di platform X, laporan itu menyatakan lonjakan pelaburan dalam industri semikonduktor yang berkembang pesat serta persaingan sengit dalam sektor digital menjadi antara faktor utama peningkatan berkenaan.

Berdasarkan data dikongsi, julat gaji tahunan bagi jawatan Ketua Pegawai Teknologi (CTO) di Malaysia berada antara 19 hingga 28 juta yen, berbanding Jepun antara 12 hingga 26 juta yen.

Bagi jawatan Pengarah IT, Malaysia mencatatkan julat gaji antara 12 hingga 28 juta yen, manakala Jepun antara 15 hingga 25 juta yen.

Selain itu, jawatan Pengarah Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) dalam bidang elektronik di Malaysia turut merekodkan julat gaji lebih tinggi berbanding Jepun.

Laporan itu turut menunjukkan trend peningkatan konsisten bagi jawatan Pengarah IT di Malaysia sejak 2022, mencerminkan perubahan landskap pasaran tenaga kerja teknologi di rantau Asia.

Data berkenaan diperoleh daripada firma pengambilan pekerja antarabangsa yang memantau perkembangan sektor teknologi di beberapa negara utama.