
KUALA LUMPUR, 24 Februari- Dewan Rakyat hari ini meluluskan usul Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 1/2026 yang mendedahkan 273 isu baharu melibatkan pengurusan kewangan serta tadbir urus di peringkat Persekutuan dan negeri.
- Dewan Rakyat meluluskan usul Laporan Ketua Audit Negara 1/2026 selepas perbahasan 35 Ahli Parlimen.
- Timbalan Perdana Menteri menjelaskan peningkatan kos projek disebabkan peluasan skop termasuk penambahan komponen dan infrastruktur.
- PHB berbincang dengan DBKL tangguh pembinaan underpass; pelebaran sementara Jalan Bangsar ke Jalan Maarof akan dilaksanakan.
Usul mengenai Penyata Kewangan Agensi Persekutuan Tahun 2024 itu dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, sebelum diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas dibahaskan 35 Ahli Parlimen.
Dalam sesi perbahasan, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof turut menjelaskan mengenai peningkatan kos sebuah projek pembangunan yang dibangkitkan dalam laporan berkenaan.
“Peningkatan kos pembinaan berlaku berikutan skop projek yang berkembang berbanding kelulusan asal termasuk penambahan komponen tempat letak kereta, sebahagian Menara 3 dan kerja infrastruktur seperti laluan bawah tanah atau underpass,” katanya ketika menggulung perbahasan usul LKAN 1/2026 di Dewan Rakyat, hari ini.
Sebagai langkah penyelesaian, beliau memaklumkan Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) telah mengadakan perbincangan dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi menangguhkan pembinaan laluan bawah tanah itu.
Pada masa sama, pelebaran jalan masuk dari Jalan Bangsar ke Jalan Maarof akan dilaksanakan sebagai langkah sementara bagi melancarkan aliran trafik di sekitar kawasan projek, sementara menunggu kelulusan penuh Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC).