
SEREMBAN, 1 April -Beberapa ajaran sesat dikesan aktif bergerak di Negeri Sembilan secara tertutup serta menyasarkan individu yang lemah daripada segi asas pengetahuan agama.
- Sebanyak 12 kes ajaran sesat dibawa ke pendakwaan; lapan disabit, dua masih perbicaraan, dua dilepas.
- JHEAINS jalankan program bimbingan dan advokasi; lebih 300 individu diberi pemulihan akidah.
- Orang ramai diminta melapor aktiviti dakwah mencurigakan kepada pihak berkuasa bagi menjaga akidah umat Islam.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, bahawa sebanyak 12 kes ajaran sesat telah dibawa ke peringkat pendakwaan.
Daripada jumlah itu, lapan kes termasuk Millah Abraham, Ahmadi The Religion dan Tilik Nasib telah disabitkan kesalahan serta dijatuhkan hukuman, manakala dua kes masih dalam perbicaraan dan dua lagi dilepas serta dibebaskan.
Katanya, lebih 300 individu telah mengikuti program bimbingan dan advokasi yang dilaksanakan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) bagi memulihkan akidah serta membendung penularan ajaran sesat.
“Dalam usaha memulihkan pengikut ajaran sesat, JHEAINS menjalankan program advokasi dan bimbingan akidah bagi memastikan mereka kembali kepada pegangan Islam sebenar berdasarkan akidah Ahli Sunnah Waljamaah,” katanya kepada pemberita dalam sidang media pasca Mesyuarat Mingguan Kerajaan Negeri di Wisma Negeri Seremban.
Orang ramai turut diseru agar melaporkan sebarang aktiviti dakwah mencurigakan kepada pihak berkuasa bagi memastikan akidah umat Islam terus terpelihara.