11 lokaliti Combi bersatu perangi denggi

Danial Al-Rashid (tengah) bersama komuniti menunjukkan hasil ‘tangkapan’ sampah dalam program tersebut / Combi MPP Zon 8 MBSA

SHAH ALAM, 11 Februari – Semangat perpaduan dan keprihatinan terhadap kebersihan jelas terpancar apabila kira-kira 400 peserta daripada pelbagai peringkat umur dan latar belakang bangsa berkumpul menjayakan Program Plogging Perdana Combi Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Zon 8 MBSA di Seksyen 24, Ahad lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • 11 lokaliti Combi bergabung dalam program plogging untuk membasmi tempat pembiakan nyamuk Aedes.
  • Kira-kira 400 peserta pelbagai usia menyertai aktiviti memupuk semangat perpaduan dan kebersihan.
  • Program termasuk kutipan sampah besar dan taklimat pencegahan denggi oleh Pejabat Kesihatan Daerah Petaling.

Ahli Majlis MPP Zon 8 Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Siti Nur Aishah Mohd Zain berkata, program tersebut menyaksikan penglibatan serentak 11 lokaliti Combi dengan matlamat membasmi tempat pembiakan nyamuk Aedes, sekali gus menjaga kelestarian persekitaran.

“Saya amat terharu melihat kehadiran hampir 400 warga Zon 8 MBSA hari ini. Apa yang lebih istimewa, kita dapat melihat penyertaan daripada pelbagai kaum dan lapisan umur, dari kanak-kanak hingga warga emas. Semuanya turun padang dengan satu matlamat.

“Ini membuktikan bahawa kesedaran terhadap kebersihan dan ancaman denggi bukan lagi isu individu, tetapi tanggungjawab kolektif kita semua,” katanya.

Beliau turut menambah, inisiatif tersebut sangat penting untuk memastikan Zon 8 MBSA kekal sebagai kawasan yang selamat dan bebas daripada ancaman penyakit bawaan nyamuk.

Hadir sama, Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga, Danial Al-Rashid Haron dan Pengerusi Combi MPP Zon 8 MBSA, Muazzam Abdul Majid.

Kanak-kanak juga tidak melepaskan peluang mengumpul sampah dalam program tersebut / Combi MPP Zon 8 MBSA

Sementara itu, Pengerusi Combi Daerah Petaling, Nor Rizan Marlan berkata, aktiviti ‘plogging’ yang menggabungkan elemen beriadah sambil mengutip sampah tersebut menjadi platform terbaik dalam menyatukan komuniti setempat.

“Melalui program seperti ini, kita bukan sahaja membersihkan kawasan fizikal, malah kita mengukuhkan ukhuwah sesama jiran tetangga.

“Saya berharap semangat ‘Zon 8 Bebas Denggi’ ini diteruskan dalam amalan harian, di mana setiap penduduk meluangkan sekurang-kurangnya 10 minit setiap minggu untuk memeriksa kawasan rumah masing-masing,” ujarnya.

Sebanyak 11 lokaliti Combi terlibat iaitu Blok 81, PPA 30, PPA 14, Jalan Labu, Kubis Pegaga, Jalan Sawi 24/18, PPA 34, PPA 6, PPA 26, Jalan Kobis Bunga dan Seksyen 23.

Program tamat sekitar pukul 11.00 pagi dengan jumlah kutipan sampah yang signifikan, di samping sesi taklimat pencegahan denggi daripada Pejabat Kesihatan Daerah Petaling oleh Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Kanan, Norazawati Noordin.

Dari kiri, Muazzam, Azli, Aishah, Nor Rizan dan Norazawati ketika Majlis Perasmian Program Plogging Perdana Combi MPP Zon 8 MBSA di Dewan Cengal, Seksyen 24 / COMBI MPP Zon 8 MBSA