TEMAN TEKUN Sabah salur RM25.17 sepanjang 2025, perkasa usahawan tempatan

MEMBAKUT, 5 Februari – Sebanyak RM25.17 juta nilai pembiayaan disalurkan kepada usahawan menerusi program TEMAN TEKUN di Sabah sepanjang 2025, melepasi sasaran awal sebanyak RM21.94 juta.
Menurut Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Mohamad Alamin, kadar pencapaian itu melebihi 115 peratus, membuktikan keyakinan usahawan kecil kepada perkhidmatan TEKUN NASIONAL secara amnya.

“Pencapaian ini membuktikan bahawa usahawan Sabah semakin yakin dan proaktif memanfaatkan kemudahan pembiayaan yang disediakan kerajaan.
“KUSKOP bersama TEKUN Nasional akan terus memastikan sokongan berterusan diberikan agar usahawan mikro dan kecil mampu berkembang dan berdaya saing,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Usahawan TEMAN TEKUN di Perpustakaan Cawangan Membakut di sini.
Beliau turut memaklumkan bahawa pencapaian di peringkat nasional juga menunjukkan trend sama apabila pembiayaan TEMAN TEKUN telah merekodkan jumlah keseluruhan sebanyak RM162.05 juta, mengatasi sasaran RM155 juta.

Ini sekali gus membuktikan keberkesanan pelaksanaan skim pembiayaan TEKUN Nasional dalam merangsang pertumbuhan ekonomi rakyat.
“Kerajaan komited untuk memastikan usahawan luar bandar dan komuniti setempat tidak tercicir daripada arus pembangunan ekonomi negara.
“Fokus kita adalah untuk membantu usahawan meningkatkan pendapatan, memperkukuh perniagaan dan membina masa depan yang lebih stabil,” tambah beliau lagi.
TEMAN TEKUN bertujuan memperkukuh hubungan strategik antara TEKUN Nasional dan komuniti usahawan setempat, selain menjadi platform penyampaian maklumat pembiayaan, perkongsian pengalaman keusahawanan serta pemerkasaan kapasiti perniagaan usahawan tempatan.
Majlis tersebut turut melibatkan penyertaan aktif komuniti usahawan dari beberapa Pusat Setempat Aktiviti TEKUN (PSAT) di kawasan sekitar Membakut dan Bongawan.

Antara PSAT terlibat ialah PSAT Telantang – DUN Bongawan, PSAT Bongawan Solo – DUN Bongawan, PSAT Mawau – DUN Membakut dan PSAT Selagon – DUN Membakut.
Pada program sama, turut disediakan Booth Informasi TEKUN Nasional bagi memudahkan usahawan mendapatkan maklumat berkaitan skim pembiayaan selain khidmat nasihat perniagaan serta bimbingan secara terus daripada pegawai TEKUN.
Selain itu, program ini turut menampilkan Booth TikTok Shop dan Pemasaran Digital sebagai platform pendedahan kepada usahawan tempatan bagi memperluaskan pasaran produk secara dalam talian serta meningkatkan keupayaan pemasaran berasaskan teknologi digital.
“Pendigitalan perniagaan merupakan elemen penting dalam memastikan kelangsungan dan daya saing usahawan. Inisiatif seperti pendedahan kepada platform e-dagang dan pemasaran digital mampu membuka peluang pasaran yang lebih luas kepada produk tempatan,” Datuk Mohamad Alamin.
Atas pencapain tersebut TEKUN Nasional Sabah akan terus mempergiatkan pelaksanaan program turun padang, inisiatif latihan keusahawanan dan sokongan pembiayaan bagi memastikan lebih ramai usahawan mampu meningkatkan pendapatan, memperluaskan pasaran serta membina perniagaan yang mampan dan berdaya tahan.
Majlis turut diserikan dengan sesi lawatan ke premis usahawan TEMAN TEKUN di sekitar kawasan Membakut dan Bongawan bagi melihat secara langsung perkembangan perniagaan usahawan tempatan.
