KUALA LUMPUR, 16 Februari - Jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia bakal dibimbing jurulatih kebangsaan, Indra Wijaya bagi meneruskan kerjaya badmintonnya sebagai pemain profesional.
Latihan akan dijalankan menerusi Kelab Badminton Lee Zii Jia yang baharu diluluskan penubuhannya.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Ti Lian Ker mengesahkan perkara itu melalui hantaran di Facebook.
"Ini akan membantu melayakkan Zii Jia mengambil alih jurulatih Indra Widjaja yang akan menamatkan kontraknya dengan Persatuan Badminton Malaysia pada 31 Mac depan.
"BAM bersedia menyerahkan jurulatih dari Indonesia ini untuk terus membantu Zii Jia dalam karier sukannya.
"Pejabat saya telah membantu Zii Jia untuk melancarkan proses pendaftaran, permit kerja dan keperluan imigresen. Saya mengucapkan selamat maju jaya kepada Zii Jia dan Kelab Badminton Lee Zii Jia yang baharu ditubuhkan," katanya.
Ketika ini, karier Zii Jia selaku pemain profesional solo diurus kakaknya.