fb fb fb fb fb

The Reds kepenatan, Klopp ucap tahniah pada Man United

FOTO AFP

MANCHESTER, 18 Mac- Manchester United menamatkan harapan Liverpool untuk memenangi empat kejuaraan musim ini selepas mencatat kemenangan mendebarkan 4-3 pada aksi suku akhir Piala FA Inggeris lewat pagi tadi.

The Reds tewas selepas Amad Diallo menjaringkan gol pada minit ke-121 untuk melengkapkan kebangkitan United, walaupun anak buah Klopp mendahului dua kali dalam perlawanan tersebut.

Anak-anak buah Erik ten Hag yakin untuk mara ke final untuk musim kedua berturut-turut selepas digandingkan dengan pasukan Kejuaraan Coventry dalam kelompok empat terakhir.

Scott McTominay membuka tirai jaringan sebelum Liverpool memintas untuk mendominasi perlawanan dengan dua jaringan masing-masing oleh Alexis Mac Allister dan Mohamed Salah sehingga tamat babak pertama.

Pada minit ke-87, Antony mencetak nama selaku penjaring, gol pertamanya di Old Trafford selepas lebih setahun sekali gus memastikan peluang United terus hidup untuk membawa perlawanan ke masa tambahan.

Liverpool kembali memintas untuk berada di depan menerusi jaringan Harvey Elliott minit ke-105 perlawanan.

Begitupun, Marcus Rashford menjadikan kedudukan 3-3 sebelum Diallo melengkapkan kemenangan bergaya United ke atas Liverpool.

Sudah tentu kemenangan itu sedikit melegakan pengendalinya selepas United dibezakan 17 mata dengan Liverpool dalam Liga Perdana dan tersingkir awal daripada kedua-dua Liga Juara-Juara dan Piala Liga.

Liverpool mempunyai jadual yang jauh lebih padat dalam beberapa minggu kebelakangan ini berbanding United kerana mereka kekal dalam tiga pertandingan, setelah menjulang Piala Liga bulan lepas.

"Itulah kali pertama saya melihat pasukan saya benar-benar bergelut. Begitulah keadaannya, kami banyak bermain bola sepak baru-baru ini," kata Klopp.

"Tahniah kepada United, mereka juga berjuang keras."-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE