fb fb fb fb fb

TFC II menewaskan pendahulu Liga Perdana, JDT II dengan keputusan, 2-1

Terengganu FC II (TFC II) menewaskan pendahulu Liga Perdana, Johor Darul Ta'zim II (JDT II) dengan keputusan, 2-1 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, malam tadi.

Kemenangan itu, menyaksikan TFC II berjaya naik dua anak tangga di kedudukan ketiga liga, manakala kedudukan JDT II tidak berubah, kekal selaku pendahulu liga.

Skuad The Turtles yang menurunkan lima pemain skuad 'abang', Terengganu FC-TFC pada awal permainan kerap mengatur gerakan memburu jaringan menerusi penjaring terbanyak Liga Perdana musim lalu, Jordan Mintah.

Namun, gerakan-gerakan tersebut berjaya dipatahkan pertahanan skuad Harimau Selatan.


(TFC II menewaskan pendahulu Liga Perdana, JDT II dengan keputusan, 2-1)

Pada minit ke-15, skuad kendalian Badrul Afzan Razali hampir memecah kebuntuan menerusi rembatan deras Mintah, namun ditepis keluar penjaga gol, Mohd Izham Tarmizi Roslan yang juga kapten pasukan pelawat.

Manakala skuad pelawat kendalian Raul Mariano mendapat peluang pertama pada minit ke-24 menerusi rembatan padu Adam Farhan Mohd Faizal, tapi penjaga gol tuan rumah, Syed Muhammad Nasrulhaq Syed Bidin sudah bersedia untuk menangkap kemas percubaan pemain itu.

Namun TFC II yang dilihat menguasai permainan dan kerap mengatur gerakan tetap gagal menemui sentuhan jaringan, sebaliknya percubaan tepat kedua dimiliki pelawat pula membuahkan hasil menerusi jaringan pemain import berdarah kacukan Filipina-Sepanyol, Bienvenido Maranon pada minit ke-43.

Jaringan tersebut berpunca hantaran silang Ahmad Hazwan Bakri dari sebelah kanan pintu gol sebelum bola terkena kepala pertahanan TFC Dua, Luke Woodland dab singgah di kaki Maranon untuk pasukannya mendahului satu gol kosong sehingga tamat babak pertama.

Bersambung babak kedua, skuad The Turtles yang ketinggalan mengubah rentak permainan dan hampir berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-51 hasil hantaran Engku Muhammad Nur Shakir Engku Yacob kepada Mintah, namun peluang itu gagal disudahkan dengan jaringan.

Usaha berterusan tuan rumah akhirnya membuahkan hasil di babak separuh kedua apabila pemain tengah, Zuasyraf Zulkiefle berjaya melakukan rembatan kencang dalam kotak penalti pada minit ke-62 hasil hantaran lintang Hakimi Abdullah untuk menyamakan kedudukan satu sama.

Selepas jaringan itu, skuad The Turtles kian bernafsu apabila mendapat dua lagi percubaan tepat termasuk sepakan percuma berdekatan kotak penalti yang diambil Mintah, namun sepakan nya ke penjuru kiri gol itu bijak dibaca penjaga gawang Mohd Izham.

Ketika perlawanan berbaki enam minit masa sebenar ditamatkan iaitu minit ke-84, pemain gantian, Wan Mohamad Fazli Wan Ghazali berjaya menyudahkan sepakan leret Muhammad Muslihuddin Atiq Mat Zaid untuk pasukannya mendahului dua satu.

Kedudukan tersebut kekal hingga tamat perlawanan.

"Betul, saya mengingatkan buat pemain-pemain pada taklimat sebelum perlawanan malam ini, perlawanan terakhir kita bermain di laman sendiri jadi kita buka dengan kemenangan.

"Kita tutup dengan kemenangan buat masa ini. Alhamdullilah pemain-pemain melaksanakan tugas dengan baik malam ini. Tahniah sekali lagi buat pemain," Kata Ketua Jurulatih TFC II , Badrul Afzan Razali

Media Baharu