fb fb fb fb fb

Tenis Terbuka Perancis: Rafael Nadal langkah kanan lepasi pusingan pertama

PARIS, 24 Mei- Juara 13 kali, Rafael Nadal memulakan kempen kejohanan Tenis Terbuka Perancis dengan langkah kanan apabila melepasi dengan mudah aksi pusingan pertama.

Jaguh tenis Sepanyol itu menang dengan keputusan 6-2, 6-2, 6-2 menentang lawannya dari Australia, Jordan Thompson.

Dalam saingan tersebut, Nadal dilihat tenang memulakan aksi menentang Thompson malah tidak berdepan masalah untuk mendominasi perlawanan.

Nadal yang ketika ini dalam misi memburu gelaran ke-14 kejohanan tersebut hanya memerlukan dua jam untuk mengesahkan kemenangan dalam aksi pusingan pertama.

Pada aksi pusingan kedua nanti, Nadal dijadual menentang wakil tuan rumah, Corentin Moutet yang berjaya menewaskan Stan Wawrinka dari Switzerland pada aksi pusingan pertama.

(Aksi Rafael Nadal ketika menumpaskan lawannya, Jordan Thompson /AFP)

Sementara itu, dalam aksi perseorangan wanita pula menyaksikan pemain nombor satu dunia, Iga Swiatek turut mara ke pusingan kedua Terbuka Perancis dengan kemenangan dominan straight set ke atas Lesia Tsurenko.

Pada kejohanan kali ini Swiatek menjadi tumpuan utama selain dijangka mampu melangkah ke saingan akhir Terbuka Perancis.

Dalam aksi pusingan pertama tersebut, Swiatek menang dengan keputusan 6-2, 6-0 sekali gus membuktikan beliau kini berada di tahap prestasi terbaik untuk mendapatkan semula gelaran yang dimenangi pada 2020 di Paris.

Pada aksi pusingan kedua, Swiatek dijadual menentang pemain dari Amerika Syarikat, Alison Riske. -AFP

Media Baharu