fb fb fb fb fb

Tang Jie-Ee Wei juara beregu campuran Kejohanan Badminton Dunia 2025

Beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei muncul juara beregu campuran Kejohanan Badminton Dunia 2025/ Foto RTM

KUALA LUMPUR, 31 Ogos - Beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, mencipta sejarah baharu apabila merangkul kejuaraan sulung Malaysia dalam acara beregu campuran di Kejohanan Badminton Dunia 2025, yang berlangsung di Adidas Arena, Paris.

Gandingan yang kini berada di ranking keempat dunia itu menampilkan aksi meyakinkan apabila menewaskan pasangan ranking kedua dunia dari China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin, dengan kemenangan straight set, 21-15, 21-14.

Dalam set pertama, Tang Jie-Ee Wei tidak berdepan sebarang masalah untuk mendominasi permainan.

Meskipun Zhen Bang-Ya Xin cuba bangkit pada set kedua dan memberikan tentangan sengit, Tang Jie-Ee Wei berjaya mengekalkan momentum dan menamatkan perlawanan dalam masa 39 minit.

Kejayaan ini amat bermakna kerana ia bukan sahaja menghadiahkan Malaysia pingat emas pada kejohanan paling berprestij itu tetapi juga bertepatan dengan sambutan Hari Kebangsaan, menjadikannya lebih bersejarah.

Sebelum ini, pencapaian terbaik Malaysia dalam acara beregu campuran hanya di peringkat separuh akhir menerusi pasangan Koo Kien Keat-Wong Pei Tty pada edisi 2006 di Madrid, Sepanyol.

Sementara itu, Pearly Tan-M. Thinaah, yang merupakan wakil sulung beregu wanita negara ke final Kejohanan Dunia, dijadualkan menentang pasangan nombor satu dunia dari China, Liu Sheng Shu-Tan Ning, pada pukul 8.40 malam ini.

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN