SINTOK, 8 September- Temasya Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2024 menjadi medan pencarian dan juga persediaan atlet pelapis di peringkat institusi pengajian tinggi (IPT) untuk bersaing di temasya sukan yang lebih besar dan berprestij.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud menggesa atlet di setiap IPT agar berusaha dengan lebih gigih dan menggunakan platform SUKIPT untuk melangkah ke temasya lebih besar.
Beliau berkata sukan berkenaan termasuk Sukan Universiti Asean (AUG) dan Sukan Universiti Dunia (UNIVERSIADE).
“Usaha ini memperlihatkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sentiasa relevan sebagai satu ejen yang turut membantu dalam mempertingkatkan pembangunan mutu sukan negara,” katanya semasa berucap merasmikan SUKIPT 2024 di Universiti Utara Malaysia (UUM) di sini malam tadi.
Mustapha juga menyeru atlet SUKIPT kali ini untuk menjadikan kejayaan atlet terdahulu sebagai dorongan dan pembakar semangat untuk mencipta kecemerlangan.
Beliau berkata pada SUKIPT 2022 di Universiti Pendidikan Sultan Idris, sebanyak 46 rekod kejohanan dipecahkan, dan mencabar atlet pada temasya kali ini untuk melakukan lebih baik dengan memecahkan rekod kebangsaan.
KPT menyediakan peruntukan keseluruhan RM20,000 bagi atlet yang berjaya mencatatkan rekod kebangsaan pada SUKIPT.
Edisi keenam SUKIPT 2024 yang membuka tirai kelmarin akan berlangsung hingga 14 September melibatkan 73 kontinjen dengan 6,058 atlet bertanding dalam 28 acara sukan bagi merebut 231 pingat emas.
Ia disertai 20 universiti awam, 46 universiti swasta, masing-masing satu penyertaan daripada politeknik dan kolej komuniti selain lima Institut Pendidikan Guru (IPG).