fb fb fb fb fb

Sukan SEA 2025: Pemain e-sukan Thailand disingkir kerana menipu, pasukan tarik diri

BANGKOK, 16 Disember - Seorang pemain e-sukan Thailand disingkirkan daripada Sukan Asia Tenggara (Sukan SEA) 2025 selepas didapati menipu dalam perlawanan wanita Arena of Valor, sekali gus mendorong keseluruhan pasukannya menarik diri daripada kejohanan itu.

Persekutuan E-sukan Thailand (TESF) memaklumkan pemain berkenaan, Warasin Naphat, melakukan kesalahan dengan menggunakan perisian pihak ketiga atau pengubahsuaian perkakasan yang tidak dibenarkan semasa Perlawanan 1 pada Isnin.

“Selepas siasatan lanjut, bukti kukuh telah ditemui, yang membawa kepada pengenaan Penalti Peribadi sehingga mengakibatkan dia dipecat daripada keseluruhan pertandingan e-sukan,” menurut TESF.

Media tempatan turut melaporkan Warasin dirakam membuat isyarat jari tengah semasa siaran televisyen acara tersebut di Bangkok.

TESF dalam kenyataan di Facebook berkata pihaknya menerima keputusan penganjur dan mengumumkan penarikan diri pasukan dari Sukan SEA.

Presiden TESF, Santi Lothong, berkata pihaknya memohon maaf atas insiden berkenaan dan menegaskan komitmen untuk menjaga integriti sukan.

“Kami cintakan sukan ini dan tidak akan membenarkan sebarang perbuatan mencemarkan imej e-sukan,” katanya.

E-sukan, atau kejohanan permainan video kompetitif, pertama kali dipertandingkan dalam Sukan SEA pada 2019.

Tahun ini, acara tersebut merangkumi pertandingan dalam empat kategori: FC Online, Mobile Legends: Bang Bang, Free Fire dan Arena of Valor, iaitu permainan pertempuran berbilang pemain dalam talian.-AFP

AZRUL FAIZAL JUSOH