BANGKOK, 15 Disember – Perenang negara, Andrew Goh, mencipta sejarah apabila menjadi atlet Malaysia pertama dalam tempoh sedekad meraih pingat acara 50 meter kuak dada lelaki selepas memenangi perak pada Sukan SEA Thailand 2025, hari ini.
Atlet berusia 21 tahun itu mencatat masa 27.96 saat, hanya 0.32 saat di belakang pemenang emas dari Singapura, Chan Chun Ho yang merekodkan 27.68 saat. Pingat gangsa menjadi milik juara bertahan dari Indonesia, Felix Viktor Iberle, dengan catatan 28.02 saat.
Kejayaan Andrew menamatkan kemarau pingat Malaysia dalam acara berkenaan sejak kali terakhir diraih pada Sukan SEA Singapura 2015 menerusi Wong Fu Kang.