fb fb fb fb fb

Stadium Bolasepak Kuala Lumpur sedia jadi venue Harimau Malaya

KUALA LUMPUR, 13 Julai- Stadium Bolasepak Kuala Lumpur di Cheras bersedia menjadi venue alternatif kepada sebarang kejohanan peringkat Asia melibatkan skuad Harimau Malaya, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kuala Lumpur (KL) City FC Stanley Bernard.

Beliau berkata kesediaan itu berikutan stadium berkenaan sudah mempunyai pengalaman mengendalikan saingan Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) pada bulan lepas.

"Pengalaman yang ada buat Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) serta pengurusan KL City adalah pertandingan AFC yang baru berlangsung dan semua pihak mula menaikkan (meningkatkan) taraf kerja mereka.

"Keperluan itu jika dibandingkan (saingan) domestik dengan Piala AFC mempunyai perbezaan kerana Piala AFC lebih tinggi keperluannya yang perlu dipenuhi...namun saya rasa dari sudut itu kita bersedia (menganjurkan mana-mana kejohanan)," katanya pada sidang media hari ini.

Beliau berkata pihaknya menerima maklum balas positif daripada AFC berhubung langkah diambil bagi memastikan keadaan padang serta aspek pencahayaan menghampiri piawaian ditetapkan semasa kempen Piala AFC 2022.

Stanley berkata bagi memastikan stadium itu bersedia menganjurkan kejohanan besar pada masa akan datang, pihaknya mewujudkan sebuah jawatankuasa sebagai usaha menjadikan kemudahan di venue berkenaan bertaraf elit.

"Berdasarkan pengalaman mungkin ada kita boleh perbaiki dan pelajari. Persediaan itu secara langsung menjadikan kita bersedia untuk jadi venue pengganti kepada skuad Harimau Malaya atau mana-mana pertandingan bertaraf Asia," katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Khalid Abdul Samad tetap berharap akan mendapat kebenaran untuk menjaga stadium berkenaan.

Jelas Khalid, beliau sering menerima aduan daripada ketua jurulatih KL City, Bojan Hodak yang mengeluh kerana tidak dapat menggunakan Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur untuk tujuan latihan.

Ini kerana pihak swasta yang diamanahkan untuk menyelenggara lokasi berkenaan didapati gagal menunaikan tanggungjawab sebaiknya hingga menimbulkan beberapa masalah terutama ketika saingan Piala AFC baru-baru ini.

 


(Ketua Pegawai Eksekutif Kuala Lumpur (KL) City FC Stanley Bernard pada sidang media hari ini)

Media Baharu