fb fb fb fb fb

Skuad karate cipta kejayaan berganda, tamatkan kemarau emas 29 tahun

(Skuad karate meraikan kejayaan di Pusat Pertandingan Sukan Wilayah Ninh Binh)

HANOI, 20 Mei- Skuad karate kebangsaan menamatkan kemarau 29 tahun kilauan emas dalam acara kumite berpasukan lelaki Sukan SEA  hari ini.

Kejayaan itu hadir di Pusat Pertandingan Sukan Wilayah Ninh Binh di sini, selepas pasukan kumite lelaki negara dibarisi S Prem Kumar, Sureeya Sankar dan R Sharmendran menewaskan Indonesia 3-0 pada final hari ini.

Memetik laporan Bernama, selain Prem Kumar, Sureeya dan Sharmendran, skuad karate kebangsaan dianggotai Hari Sankar, S Geerijaieswaran Pillai, Muhammad Arif Afifuddin Ab Malik, V Kueggan dan G Kathish.

Mata pertama disumbangkan Prem Kumar selepas menundukkan lawan dengan keputusan 8-3 sebelum momentum kemenangan diteruskan rakan sepasukan Sharmendran (3-1) dan Sureeya Sankar menoktahkan kejayaan membanggakan itu dengan mengatasi lawan 6-1.

(Pasukan kumite lelaki negara dibarisi S Prem Kumar, Sureeya Sankar dan R Sharmendran menewaskan Indonesia 3-0)

Bagaimanapun, skuad kebangsaan terlebih dahulu menempuh saat mendebarkan ketika berdepan Vietnam di separuh akhir apabila pada awalnya kemenangan mereka dinafikan sebelum bantahan rasmi yang dilakukan membuahkan hasil untuk keputusan berpihak Malaysia.

“Kita sangat gembira dapat pingat emas selepas 29 tahun, kami betul-betul menunggu saat ini. Kami melakukannya...ini bukan emas saya, ini emas kami, (emas) Malaysia, (emas) Karate Malaysia dan (emas) MAKAF (Persekutuan Karate Malaysia),” kata Prem Kumar kepada pemberita, di sini.

"Pada ketika ini protes kesilapan teknikal kami ketepikan dan akhirnya sebelum kami memasuki gelanggang kami sudah menang di luar gelanggang kerana perasaan membara yang kami memang memerlukannya selepas bertahun-tahun kami masuk final, akhirnya kami berjaya,” kata beliau.

Sebagai rekod, kali terakhir Malaysia memenangi emas acara kumite berpasukan lelaki adalah pada edisi 1993 di Singapura.

Pencapaian terbaik skuad negara dalam acara karate pada Sukan SEA adalah ketika Malaysia menjadi tuan rumah pada edisi 2001 dengan sembilan pingat emas

Media Baharu