(Benjamin Mora)
JOHOR BAHRU, 1 Mei - Tiada rahsia besar, sebaliknya sentiasa mahu belajar dan konsistensi.
Itu kunci utama kepada kejayaan demi kejayaan yang diraih JDT.
Menurut pengendalinya, Benjamin Mora, JDT hanya sebuah kelab kecil tetapi dengan semangat dan sokongan pemain ke-12, mereka berjaya mengalahkan sebuah kelab gergasi Asia.
"Kami tidak pernah berhenti belajar, sentiasa rendah diri. Kami sedar kedudukan kami. Namun jika kami yakin, kami boleh lakukannya," kata Mora.
JDT mencipta sejarah tersendiri dengan layak ke pusingan kalah mati Liga Juara Asia (ACL) setelah menewaskan juara edisi 2020, Ulsan Hyundai FC dari Korea Selatan 2-1 untuk muncul johan Kumpulan I.
Kata Mora, beliau gembira kerana pemain pemain JDT memiliki corak permainan baik, banyak peningkatan dan sentiasa mengekalkan disiplin sepanjang perlawanan.
Lebih manis, pemain tengah JDT, Leandro Velazquez dinamakan pemain terbaik perlawanan.
(Pemain JDT FC, Leandro Velazquez)
"Saya sangat gembira untuk pemain, penyokong dan Tunku Mahkota Johor. Sudah pasti pencapaian ini adalah buat kelab," kata Velazquez
Sementara itu, bagi jurulatih Ulsan Hyundai, Hong Myung Bo, kekecewaan amat dirasai seluruh pasukannya.
Menurutnya, kegagalan menyempurnakan beberapa peluang untuk menjaringkan gol membawa padah buat mereka.